Pages

Saturday, December 22, 2012

Ingat dan syukurilah nikmat Allah

 Allah swt berfirman yang bermaksud:
                “Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi ini” (Surah al-A’raf: 74)


                Alhamdulillah, setelah sekian lama tidak bertemu kata, Allah swt mengizinkan saya pada kali ini untuk mencoret sesuatu untuk dikongsikan bersama dengan para pembaca yang dirahmati oleh Allah sekalian. Topik kita pada kali ini in shaa Allah akan membincangkan perihal nikmat kurniaan Allah swt pada kita.

                Sesungguhnya nikmat Allah swt yang dikurniakan kepada kita begitu banyak sekali sehingga tidak terhitung banyaknya. Allah berfirman di dalam kitabNya yang agung yang bermaksud:
“Jika kamu menghitung-menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.” (Surah An Nahl : 18)

                Jika kita perhatikan di badan kita sahaja dahulu, bukankah pada susuk tubuh badan kita sahaja sudah begitu banyak nikmat yang Allah kurniakan? Nikmat mata, nikmat penglihatan, nikmat gigi, nikmat rasa dan banyak lagi. Banyak bukan? Itu baru sahaja dari bahagian tubuh kita, tidak kira lagi dengan nikmat udara, pernafasan, matahari, hujan dan lain-lain. Maka benarlah firman Allah swt, nikmat yang Allah berikan kepada kita itu teramat banyak sehingga kita tidak dapat nak menghitungnya. Sesunggunya segala nikmat itu datangnya daripada Allah swt.

Firman Allah swt dalam surah an Nahl ayat 53 yang bermaksud:
                “Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepadaNyalah kamu meraung meminta pertolongan”


Syukuri nikmat Allah

                “…Sesungguhnya jika kamu bersyukur niscaya Aku akan menambah nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim : 7)

                Melalui ayat tersebut, apa agaknya yang dapat kita simpulkan? Hmm..Allah swt kata, kalau kita bersyukur atas nikmatNya pasti Allah swt akan menambah nikmat kepada kita. Betul kan? Subhanallah. Luasnya rahmat Allah swt. Ingat wahai pembaca-pembaca yang budiman lagi dirahmati Allah, jika kita mengkufuri nikmat Allah swt, yakinlah bahawa azab Allah itu amat pedih.

Tapi ingat....
Allah swt tidak akan menyiksa dan mengazab kita jika kita ini seorang hamba yang beriman lagi bersyukur. Allah menukilkan kata-katanya yang agung di dalam kitabNya yang mulia dalam suran An Nisa’, ayat 147 yang bermaksud:

 “Mengapa Allah akan menyiksamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu  beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya) lagi Maha Mengetahui.”

Wahai sahabat-sahabatku yang daku hormati,
Ingat dan bersyukurlah atas segala nikmat Allah swt,
Jangan sesekali kita kufur akan nikmatnya,
Jika kita bersyukur, Allah akan tambah nikmat pada kita,
Tapi jika kita kufur, yakinlah sesungguhnya azab Allah itu amat pedih.
Syukur..
Syukur..
Syukur..


Friday, February 10, 2012

Sinar Gemilang

      Bismillahirrahmanirrahim.. Ku titipkan  kalimah yang penuh makna sebelum pena melengguk tarinya.Selawat dan salam buat junjungan mulia serta ahli keluarga dan seluruh sahabat handai yang membenarkankan kata-kata Baginda.


      Topik yang cuba ana ketengahkan dalam artikel ini berkisar tentang keputusan peperiksaan  yang baru diumumkan baru-baru ini tidak kiralah sama ada PMR, SMU dan STAM. Pada hari tersebut kelihatan para pelajar resah gelisah menantikan saat-saat  yang cukup mendebarkan. Sudah menjadi adat dunia kadangkala manusia itu mudah berkecamuk dengan gelora dan tidak kurang juga yang asyik melonjak gembira. Jika tiada insan yang berduka,sudah tentu tiada kemanisan dalam melayari bahtera kehidupan dan jika tiada rasa gembira sudah tentu dunia ini tampak muram saja.

     Sejam sebelum keputusan diumumkan ada yang tenang menunduk ke bumi dan ada yang mula menggelabah seakan-akan cacing kepanasan. Ana cukup mengerti perasaan ikhwah sekalian . Almaklumlah,orang beri kepercayaan takkkan mungkin kita leburkan.Saat itu terbayang raut wajah bonda dan ayahanda tercinta. Tap3x,, air mata mula menghujani pipi. Hati menjadi gelisah memikirkannya. Cuba kita renungkan firman ALLAH dalam surah Ar-Ra’d:28

“iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH,ingatlah hanya mengingati ALLAH hati menjadi tenteram”

    Terjemahan di atas menunjukkan betapa pentingnya pengharapan kita kepada Sang Pencipta dengan selalu merenung dan menghayati ayat-ayat suciNYA.Tiada siapa selainNYA yang berhak ke atas sesuatu yang DIA kehendaki. Kita hanya mampu berdoa, [1]berdoa dan terus berdoa agar kejayaan sentiasa mengiringi kita. Bagaimana pula jika natijah yang diperolehi agak mendukakan? Hmm,, pasti ramai yang mula menyalahkan takdir.Ana yakin sahabat sekalian pernah mengalami  situasi ini yang mana si A menjadikan alasan demam  sebagai punca kegagalan. Amat tidak wajar kenyataan tersebut keluar daripada mulut golongan yang terpelajar. Sahabat yang dikasihi sekalian, sukanya ana ingatkan walau sesakit mana pun kita, ingatlah itu semua penawar bagi dosa. Na’uzubillah,,tidak mustahil lama-kelamaan kenyataan ini mampu memesongkan akidah kita.Ana harap perkara sebegini tidak akan berulang dalam kamus kehidupan teman sekalian.


    Sepatutnya kita bersyukur kerana masih lagi diberi kesempatan untuk terus beribadat kepada Yang Esa. Andai kata hari esok adalah hari kematian kita,maka tiadalah usaha untuk memperbaiki kelemahan dan kegagalan dalam diri. Dunia ini diciptakan begitu luas untuk manusia mengkaji, meneliti  dan mengambil faedah apa yang ada di dalam perutnya. Kata-kata hukama’ ada berbunyi  “Apabila seseorang berhajat, hendaklah ia berusaha bersungguh-sungguh”. Apa yang dihajati mestilah seiring dengan usaha bukan sekadar omongan semata-mata.Oleh itu hendaklah bersabar di atas ujian yang diberikan.Ayuh kita merenung sejenak firman Allah dalam surah Al-Imran :

            Janganlah kamu merasa lemah dan berdukacita padahal kamulah orang-orang paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman”:139

      “wahai orang-orang yang beriman!bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu(lebih daripada kesabaran musuh,di medan perjuangan),dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan)serta bertaqwalah kepada Allah supaya kamu berjaya(peroleh kemenangan):200


   Subhanallah,,begitu besar mandat yang diberikan oleh Allah kepada insan yang kecewa lantas mereka bangkit untuk meraih kegemilangan dalam hidup.Bagi insan yang cemerlang,anggaplah kejayaan itu sebagai titik permulaan untuk terus mengorak langkah sekaligus mencapai keredhaaNYA.Usahlah ditakburkan dengan apa yang kita perolehi kerna ia boleh menggugat keimanan kita kepada Rabbul Izzati.Kejayaan juga satu ujian bagi seorang hamba sama ada mereka menerima dengan cara bersyukur mahupun sebaliknya.Usahalah semampumu untuk terus mendapat kemanisan tapi jangan sesekali beraqidah bahawa banyak usaha penentu kejayaan kerana kejayaan bukan milik sesiapa tetapi milik Allah.Untuk mendapat keberkatan dalam menuntut ilmu,marilah kita sama-sama merenung sepotong hadith di bawah:

Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya: “tidaklah harus orang yang tak tahu itu diam dalam ketidaktahuan(kebodohan)dan tidaklah harus orang yang berilmu diam dengan             
                                                                                  Ilmunya(tidak mengajar)”   >H.R.Attabrani<

Fikirlah secara global,teramat rugi bagi golongan cerdik pandai yang lokek ilmunya dek kerana tamak untuk mengejar dunia semata-semata tanpa memikirkan ganjaran menyampaikan ilmu disisi pencipta.Ingat,sebaik-baik manusia ialah orang yang suka memberi manfaat kepada orang lain.Oleh itu wahai saudaraku yang dikasihi,marilah kita bersatu seperti semut kecil yang senangtiasa bergotong-royong mendapatkan sesuap makanan agar mereka sama-sama merasai kelazatan tersebut.Hikmah yang dapat kita perolehi daripada makhluk ini ialah mereka mengajar kita erti kasih sayang dan ikhwah sesama manusia moga-moga makin ramai generasi cendekiawan dapat dilahirkan hasil didikan yang sempurna.Al-Amin sering berdoa supaya bertambahnya ilmu sebagaimana firmanNya yang bermaksud :

“..........Dan katakanlah: Ya Tuhanku,tambahkan kepadaku ilmu pengetahuan “ (surah Taha : 114)

  Sebagai kesimpulan kata,semoga Allah sentiasa merahmati kehidupan hamba-hambaNya di bawah naungan payung rahmat.Ayuhlah kita menadah tangan memohon kepada ‘azza wajalla agar dipermudahkan segala urusan dan melebarkan sayap keimanan kepada seluruh penuntut-penuntut ilmu agama serta merestui hayat ‘abdiNya.

Wallahu’alam                                                  
       p/s:Hakikat sebenar orang yang bijak ialah orang yang takut kepada Allah

Hasil nukilan: Nurul Faizah bt Abdul Rasyid

Thursday, February 9, 2012

Rasulullah S.A.W. Kami Mencintaimu



Sempena bulan Rabiul Awwal yang sedang kita tempuhi ini, hati saya tertarik untuk menulis sebuah artikel mengenai junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi kita yang amat kita cintai. Hadirnya bulan ini, begitu banyak mesej yang saya terima dari teman-teman perihal maulidur rasul. Satu mesej yang saya ingin kongsi bersama para pembaca pada kali ini berbunyi seperti ini:

“Salam Maulidur Rasul. Hidupkan hati-hati kita dengan mengingati kekasih Allah dengan berselawat kepada Baginda S.A.W. Moga kita mendapat syafaat dan Rasulullah S.A.W. mengenali kita. Sollu ‘Alan Nabiy.”

Selawat tanda cinta?

                Betul ke selawat ke atas nabi itu tanda cinta kepada baginda? Kenapa saya cakap selawat itu sebagai tanda cinta kita kepada baginda Rasulullah S.A.W? Baiklah. Jom kita renung bersama. Kalau kita cinta pada seseorang pasti kita akan selalu mengingatinya. Betul tak? Contoh yang mudah. Si A amat mencintai si B. Setiap masa, keadaan dan situasi, si A pasti akan mengingati si B kerana mendalamnya cinta mereka. Tengah makan pun ingat si B, mandi pun ingat si B sehingga setiap pekerjaan yang dilakukan, si B tidak pernah dilupai.

                Wah! Begitu dalam cinta mereka. Tetapi ikhwan dan akhowat sekalian, ini Nabi, Rasul kita, kekasih Allah S.W.T. apakah tidak layak bagi baginda Rasulullah S.A.W. untuk dicintai dan diingati? Subhanallah! Bahkan itulah yang selayak-layaknya. Cinta pada Rasulullah S.A.W. yang patut kita dahulukan daripada cinta-cinta yang lain. Sepanjang hidup baginda, baginda selalu mengingati kita. Subhanallah! Kita? Kita ingat tak dekat Nabi kita? Kita kenangkan tak Nabi kita?


                Kita laungkan dengan nada suara yang kuat. Aku Cinta Rasulullah S.A.W.! pekikan yang begitu dahsyat. Tapi? Apa bukti kita benar-benar cinta pada baginda? Hanya dengan ungkap? Semua orang boleh ungkapkan ayat tersebut. Tapi, apa bukti kita? Banyak yang boleh kita laksanakan sebagai tanda kita cinta pada baginda Rasulullah S.A.W. Contohnya dengan membaca sirah, berselawat keatas baginda, mengamalkan sunnah baginda dan banyak lagi.

Sabuah hadith yang amat menarik:
  Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. Nabi S.A.W. bersabda:
                “Seorang itu adalah bersama dengan orang yang ia kasihi” (H.R. Bukhari dan Muslim)
-Sesiapa yang mengasihi suatu golongan dengan ikhlas ia akan dihimpunkan bersama mereka. Sekalipun amalannya tidak menyamai mereka, tetapi hatinya telah mendekati. Kemungkinan kasih sayang itu mendorongnya untuk melakukan amalan yang sama (‘Aun al- Ma’bud)

Selawat ada kelebihannya yang tersendiri?

                Ya. Memang ada kelebihan. Disini saya ingin mengambil kesempatan untuk membawa beberapa potong hadith mengenai kelebihan berselawat.

Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
   “Orang yang paling hampir denganku pada hari akhirat adalah orang yang paling banyak berselawat ke atasku di dunia”                             (H.R. at-Tirmizi, al-Bazzar dan Ibn Hibban dalam kitab sahihnya)

Subhanallah! Ada sesiapa yang mahu melepaskan peluang emas ini? Peluang untuk berada di sisi Rasulullah S.A.W. yang kita cintai. Kalau tak mahu lepaskan peluang ini, jom bersama saya kita perbanyakkan selawat kita ke atas baginda Nabi S.A.W.

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
   “Orang yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali” (H.R. Muslim)
Dalam Syarah Sahih Muslim, maksud bagi kalimah ‘Allah berselawat’ itu ialah rahmat dan gandaan ganjaran daripada Allah S.W.T. Masya Allah! Sekali kita berselawat ke atas baginda, kita mendapat 10 rahmat dan gandaan ganjaran dari Rabb kita Allah S.W.T. bayangkan kalau kita berselawat 100 kali, 1000 rahmat dan gandaan ganjaran dari Allah S.W.T. luasnya rahmat Allah. Dalam kita cuba menzahirkan rasa cinta dan kasih kita pada baginda Rasulullah S.A.W. Allah S.W.T memberi ganjaran atas apa yang kita lakukan. Yakinlah wahai ikhwan dan akhowat, janji Allah itu benar. Ini semua bukanlah suatu pekerjaan yang sia-sia.

Apa tunggu lagi?
Jom bersama saya,
Kita berselawat ke atas junjungn besar Nabi Muhammad S.A.W.
Tanda cinta kita pada baginda,
Ya Rasulullah S.A.W.
Kami Mencintaimu!
Allahumma Solli wa Sallim ‘Ala Nabiyyina Muhammad,
‘Alaihis Solatu was Salam...

Siapakah yang bakhil sekali (Orang bakhil yang sebenar)?

Seperti yang kita tahu bakhil itu membawa maksud kedekut. Maka disini saya ingin membawa sepotong hadith yang menyatakan perihal siapakah orang yang kedekut ini.

Daripada Ali bin Abu Talib r.a. nabi S.A.W. bersabda:
                “Orang yang bakhil itu ialah orang yang mendengar namaku disebut tetapi tidak berselawat ke atasku”     (H.R. at-Tirmizi)

Syarah mengenai hadith ini adalah seperti berikut:

1.        Orang berkenaan disifatkan sebagai bakhil kerana menghalang diri sendiri daripada selawat Allah S.W.T. untuknya jika ia berselawat sekali ke atas baginda Nabi S.A.W.
2.       Sebahagian ulama mengatakan wajib sekali selawat pada setiap kali disebut nama baginda. Menurut pandangan yang lain, wajib sekali selawat dalam satu majlis yang disebut nama baginda S.A.W. Manakala ketika disebut nama baginda pada kali yang lain dalam majlis itu maka hukumnya sunat                                                                                                                   (Tuhfah al-Ahwazi)


Anda mahu menjadi seorang yang bakhil?
Katakan tidak!
Ini kerana sifat bakhil itu adalah satu sifat yang tercela.
Apatah lagi bakhil dalam berselawat ke atas junjungan besar baginda Rasulullah S.A.W.
Sollu ‘Alan Nabiy...

Friday, January 27, 2012

Jom Beristighfar

Bismillahir Rahmanir Rahim. Dengan Nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, selawat dan salam buat baginda Rasulallah s.a.w, keluarga, sahabat dan seluruh hamba Allah yang memperjuangkan syari’atnya sampai hari kiamat. Amin ya rabbal alamin.

Kenapa perlu beristighfar?

                Sesungguhnya kita manusia, sama sekali tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan, kesalahan mahupun dosa sepanjang hidup kita. Ini telah dinukil dalam sepotong hadith yang masyhur di kalangan kita semua.

“Setiap anak adama itu melakukan kesilapan(dosa), dan sebaik-baik pelaku kesilapan(dosa) itu ialah mereka yang bertaubat”

                Nah! Bukankah ini satu kenyataan yang telah dibuat oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. Sememangnya kita semua anak cicit Nabi Adam sama sekali tidak akan terlepas dari melakukan dosa. Tidak kira dosa itu berlaku di antara kita dengan diri kita sendiri atau dengan orang lain atau dengan pencipta kita, Allah Azza Wa Jalla. Wah! Kalau macam tu, mesti banyak dosa yang telah kita lakukan sehari-hari. Betul tak?

                Jom kita imbas kembali perjalanan hidup kita pada hari ini. Kita mula dengan lepas bangun dari tidur. Apakah kita mulakan hidup kita dengan Hamdallah? Apakah kita sudah menunaikan kewajipan kita sebagai seorang hamba-Nya. Kita Solat Subuh tak pagi tadi? Terlalu banyak yang boleh kita kaitkan. Cuba kita koreksi sebentar. Subhanallah! Banyaknya dosa yang telah kita lakukan. Melihat aurat saudara kita, berbicara dengan kalimah yang kurang menyenagkan, tidak memberi penghormatan yang sepenuhnya kepada kedua ibu bapa kita. Ya Allah, begitu banyak dosa yang telah kita lakukan.

                Maka, menjadi satu kewajipan kepada si pendosa untuk memohon ampun. Betul tak? Cuba kita perhati sekejap. Si A telah memukul si B, maka menjadi kewajipan ke atas si A untuk memohon maaf kepada si B atas apa yang telah diperlakukan. Ini adalah sunnatullah. Lumrah dalam kehidupan kita bukan?

Ada ke suruhan untuk bertaubat?

                Memang ada suruhan untuk bertaubat. Ianya memang terdapat dalam al-Quranul Karim. Disini saya ingin mengutarakan beberapa ayat mengenai suruhan bertaubat.

Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya” Surah an-Nur ; ayat 31

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (daripada perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadanya” surah hud ; ayat 3

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang sebenar-benarnya)” Surah at-tahrim ; ayat 8

Bukan hanya ini sahaja ayat yang menerangkan perihal taubat. Terlalu banyak ayat perihal taubat yang terdapat dalam Al-Quran. Jadi, sebagai kerja rumah untuk kita semua, sama-sama kita membuka mushaf Al-Quran yang terdapat di rumah kita, selak helaian demi helaian dan carilah ayat mengenai ini. Bukan apa. Sambil-sambil kita ingin mencari ayat mengenai taubat, kita bacalah sekali ayat yang terdapat dalam Al-Quran tu. Nak tambah pahala. Mesti nak pahala kan? Siapa yang tak nak kan?

Sebelum kita pergi jauh, saya ingin nukilkan sebuah hadith yang menceritakan perihal hebatnya taubat nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W. sedangkan kita tahu bahawa baginda adalah seorang yang maksum. Tapi, baginda tetap memohon ampun kepada Allah. Betapa hebat dan sucinya hati nabi kita Nabi Muhammad S.A.W.

Abu Hurairah r.a. berkata: “Saya pernah mendengar Nabi Muhammad S.A.W. berkata: ‘Demi Allah, percayalah, setiap hari saya memohon ampun daripada Allah, dan saya bertaubat kepadanya lebih 70 kali sehari” H.R. Bukhari.

Allah itu Maha Pengampun

                Seperti yang telah kita bahaskan sebelum ini, telah menjadi satu kewajipan kepada kita untuk memohon ampun kepada Allah atas segala dosa yang telah kita lakukan. Tapi, apakah Allah akan menerima taubat kita? Apakah Allah akan mengampunkan kita?

                Ya! Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Mohonlah pengampunan kepada Allah nescaya Allah akan memberi pengampunan kepada kita. Kenapa? Sebab Allah itu amat menyayangi kita, amat mengasihi kita sehingga jika kita membawa dosa sebesar bumi dan seisinya selagi kita tidak mensyirikkan Allah. Nescaya Allah akan mengampunkan kita.

Firman Allah s.w.t. dalam al-Quran:

“Dan hendaklah kamu memohon ampun kepada Allah kerana sesungguhnya Allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihani” Surah An-Nisa’ ; ayat 106

“Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadanya. Sesungguhnya Dia sangat menerima taubat” Surah An-Nasr ; ayat 3

“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat), kemudian dia memohon ampun kepada Allah, dia akan mendapati Allah itu maha pengampun lagi maha mengasihani” Surah An-Nisa’ ; ayat 110

“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedangkan kamu (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedangkan mereka beristighfar” Surah Al-Anfal ; ayat 33

Sebenarnya, terlalu banyak ayat yang menerangkan perihal Allah itu Maha Pengampun. Sememangnya Allah itu Maha Pengampun. Tetapi kita yang tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu akan hakikat ini. Sesungguhnya Allah telah menegaskan dalam Al-Quran yang Dia Maha Pengampun tetapi kita masih berdegil. Masih mahu bergelumang dengan dosa. Tidak mahu memohon ampun. Kenapa? Kerana kita telah dibutakan oleh syaitan.

Ayuh! Buka mata kita, pandanglah ke hadapan. Ambillah Al-Quran dan As-Sunnah sebagai teras kehidupan kita. Jadikan ia sebagai tali pengikat tubuh kita, moga dengan tali itu, tubuh kita akan terselamat dari terjatuh ke lembah kebinasaan. Mari bersama saya kita kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Jom! Kembali kepada Allah s.w.t. Tuhan kita, Tuhan sekalian alam.

Penutup

                Mungkin kita akan bertemu lagi di artikel yang akan datang. Buat artikel kali ini, saya rasa cukuplah dahulu. Jika diberi kesempatan oleh Allah, saya akan sambung artikel ini. Insya Allah. Moga Allah permudahkan segala urusan. Mungkin kita akan membicarakan perihal ganjaran jika kita bertaubat atau cerita-cerita yang menarik mengenai kehebatan taubat. Insya Allah. Sebelum saya mengakhiri kalam saya kali ini, sudilah saya untuk menceritakan satu cerita yang masyhur. Yang terdapat dalam Kitab Hadith Sohih Bukhari Dan Muslim. Cerita ini sememangnya direkodkan oleh Imam Bukhari Dan Muslim.

                Abu said, nama sebenarnya Saad Bin Sinan Al-Khudri, melaporkan Nabi Muhammad s.a.w. pernah berkata: “Pada suatu masa dahulu, ada seorang lelaki yang sudah membunuh 99 orang. Kemudian dia bertanya, ‘siapakah manusia yang paling alim di dunia ini?’ lalu ditunjukkan seorang pendeta. Lelaki itu pergi berjumpa pendeta itu dan mengaku bahawa dia sudah membunuh 99 orang, adakah taubatnya masih dapat diterima? Pendeta itu menjawab: ‘tidak diterima’ Lelaki itu kemudian membunuh pendeta itu, dengan demikian genaplah 100 orang yang telah dibunuhnya.

                Kemudian dia bertanya lagi, ‘ siapakah manusia yang paling alim di dunia ini?’ kemudian dia ditunjukkan seorang yang alim. Kepada orang alim itu dia mengaku dia sudah membunuh 100 orang, adakah taubatnya masih diterima? Orang alim itu menjawab: ‘ya, masih diterima, tidak ada sesiapa yang dapat menghalang saudara daripada bertaubat. Pergilah saudara ke tempat begini dan begini. Di sana ada sekumpulan orang yang menyembah Allah yang maha agung. Ikutlah mereka menyembah Allah, dan jangan pulang ke tempat asal saudara, sebab tempat itu tempat yang buruk.’

                Lelaki itu terus pergi. Di tengah-tengah perjalanan, tiba-tiba dia menemui ajalnya. Maka malaikat rahmat dan malaikat azab(seksaan) bertengkar dan mempersoalkan kedudukan lelaki itu. Kata malaikat rahmat, ‘lelaki ini datang untuk bertaubat dan hatinya menghadap kepada Allah yang maha agung’ malaikat azab(seksaan) berkata, ‘lelaki ini belum pernah melakukan kebaikan, walau sedikit pun.’

Kemudian, datang malaikat lain dengan rupa sebagai manusia. Dia menjadi hakim kepada kedua-dua malaikat tadi bagi memutuskan siapa yang benar. Katanya, ‘kamu ukur jarak antara dua tempat itu, yang mana lebih dekat, maka lelaki ini menjadi milik tempat itu.’

Kedua-dua malaikt itu pun mengukur, kemudian didapati lelaki itu lebih dekat kepada tempat yang ditujunya. Oleh itu dia di ambil oleh malaikat rahmat.”                   H.R. Bukhari dan Muslim  

Ayuh sebarkan salam.

Alhamdulillah, pada hari ini saya diberi kesempatan oleh Allah s.w.t untuk menulis satu artikel. Agaknya sudah terlalu lama saya tidak menyiarkan apa-apa bahan bacaan buat para pembaca. Ampun dan maaf saya pohon. Pada kali ini, saya ingin membicarakan perihal memberi salam.

                Mengapa pelu menyebarkan salam? Ha, ini satu soalan yang amat baik. Sebelum itu mari kita perhatikan definisi salam itu sendiri. Salam ini memberi maksud selamat. Ini bermakna apabila kita memberi salam kepada saudara kita, kita telah mendoakan keselamatan ke atas dirinya. Tak percaya? Jom kita sama-sama perhatikan definisi bagi ayat ini: “Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh”. Ianya bermaksud: “Salam(selamat) serta rahmat dan barakat ke atas diri kamu.” Ini adalah terjemahan secara rambang sahaja tapi kalau mahukan terjemahan yang lebih panjang, silalah rujuk pada mana-mana individu yang pakar.

                Melalui ayat tersebut, kita telah mendoakan tiga perkara pada saudara kita. Pertama, selamat. Keselamatan amat penting dalam kehidupan kita seharian ini. Maka, kita perlulah banyak berdoa agar kita selamat pada setiap masa. Tentu sahaj kita akan lupa untuk berdoa kepada Allah agar memberi keselamatan kepada kita. Betul tak? Maka, inisiatif yang telah dibuat dalam Islam ialah dengan memberi salam. Kita mendoakan keselamatan kepada saudara kita dan saudara kita pula mendoakan perkara yang sama kepada kita. Wah, indahnya hidup kalau semua manusia saling mendoakan keselamatan sesama mereka.

                Kedua, rahmat dan yang ketiga pula ialah berkat. Sesungguhnya segala sesuatu yang kita laksanakan di atas muka bumi ini adalah kerana izin serta rahmat dari allah s.w.t. kita hidup atas rahmat Allah. Kita makan atas rahmat Allah. Kita tidur atas rahmat Allah dan nanti kita masuk syurga juga adalah kerana rahmat Allah. Bukan dengan amalan yang telah kita buat di atas muka bumi ini tetapi ianya hanyalah kerana rahmat Allah. Menjadi satu kewajipan kepada kita untuk berdoa agar Allah s.w.t. sentiasa memberi serta menitiskan rahmat-Nya ke atas diri kita yang hina ini.

                Di sini saya ingin utarakan sepotong hadith yang menceritakan perihal hak untuk muslim yang lain. Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. telah bersabda: “ terdapat enam hak muslim ke atas seorang muslim.” Ditanyakan kepada baginda, ‘Apakah ia wahai Rasulallah?’ baginda bersabda: “Apabila kamu bertemu dengannya, ucaplah salam kepadanya; apabila ia menjemput kamu, tunaikanlah jemputannya; apabila ia meminta nasihat, berilah nasihat kepadanya; apabila ia bersin kemudian ia memuji Allah, jawablah untuknya dengan mengatakan Yarhamukallah( semoga Allah merahmati kamu); apabila ia sakit, ziarahilah ia; apabila ia mati iringilah jenazahnya.”                   H.R. Muslim

                Rupa-rupanya memberi salam kepada saudara kita ini adalah satu hak ke atas mereka. Apabila ia menjadi hak atas seoarang muslim yang lain maka menjadi satu tanggungjawab ke atas diri kita ini untuk menunaikan hak tersebut. Jika kita tidak menuanaikan tanggungjawab yang ada pada diri kita ini, nescaya kita akan dipersoalkan akan perihal ini di hadapan Allah s.w.t. di mahkamah agung-Nya. Ayuh kita ambil masa sedikit, kita koreksi diri kita sebentar, apakah keenam-enam hak untuk muslim yang lain telah kita tunaikan. Apakah telah terlaksana tanggungjawab tersebut. Jika belum terlaksana, mari bersama saya kita tanamkan dalam lubuk hati kita bahawa kita akan menunaikan hak tersebut. Moga denagn menunaikan hak tersebut, kita akan menjadi seorang hamba Allah yang mukmin serta seorang yang telah menggapai redha Allah. Insya Allah.

                Hadith yang kedua yang ingin saya bawa pada artikel kali ini mengenai mengucapkan salam: Daripada Abdullah bin Salam r.a. Nabi s.a.w. telah bersabda: “Wahai manusia! Ucapkanlah salam, berilah makanan dan tunaikanlah solat pada waktu malam ketika manusia sedang tidur; nescaya kamu memasuki syurga dengan selamat.”                                                                                              H.R. at-Tarmizi

                Subhanallah, ini satu ganjaran yang sangat besar. Dengan memberi salam serta melakukan apa yang telah disuruh oleh Allah s.w.t serta yang termaktub dalam hadith baginda, kita akan memasuki syurga Allah s.w.t. dengan aman dan selamat, insya Allah. Apakah kita tidak mahu memsuki syurga Allah s.w.t. yang begitu luas dan penuh dengan kenikmatan? Saya yakin dan amat pasti, tidak ada walau seorang pun yang tidak mahu memasuki syurga. Semuanya mahu masuk syurga. Betul tak? Dan tidak ada yang mahu masuk ke dalam neraka Allah yang amat pedih seksanya serta buruk pandangannya. Nak masuk neraka? Na’uzubillahi min zalik!

                Baiklah, mungkin sampai disini sahaja pertemuan kita kali ini, ampun dan maaf jika sepanjang saya menulis artikel ini, saya ada melakukan sebarang kesalahan atau telah menggores hati mana-mana pihak. Saya hanyalah seorang hamba Allah yang kerdil sahaja yang selalu melakukan kesilapan. Tegurlah saya jika ada salah dan silap sepanjang saya menulis artikel ini. Salam ukhuwwah dari saya. Moga bertemu lagi dalam artikel-artikel yang akan datang, insya Allah. Wassalam.