Pages

Friday, January 27, 2012

Jom Beristighfar

Bismillahir Rahmanir Rahim. Dengan Nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, selawat dan salam buat baginda Rasulallah s.a.w, keluarga, sahabat dan seluruh hamba Allah yang memperjuangkan syari’atnya sampai hari kiamat. Amin ya rabbal alamin.

Kenapa perlu beristighfar?

                Sesungguhnya kita manusia, sama sekali tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan, kesalahan mahupun dosa sepanjang hidup kita. Ini telah dinukil dalam sepotong hadith yang masyhur di kalangan kita semua.

“Setiap anak adama itu melakukan kesilapan(dosa), dan sebaik-baik pelaku kesilapan(dosa) itu ialah mereka yang bertaubat”

                Nah! Bukankah ini satu kenyataan yang telah dibuat oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. Sememangnya kita semua anak cicit Nabi Adam sama sekali tidak akan terlepas dari melakukan dosa. Tidak kira dosa itu berlaku di antara kita dengan diri kita sendiri atau dengan orang lain atau dengan pencipta kita, Allah Azza Wa Jalla. Wah! Kalau macam tu, mesti banyak dosa yang telah kita lakukan sehari-hari. Betul tak?

                Jom kita imbas kembali perjalanan hidup kita pada hari ini. Kita mula dengan lepas bangun dari tidur. Apakah kita mulakan hidup kita dengan Hamdallah? Apakah kita sudah menunaikan kewajipan kita sebagai seorang hamba-Nya. Kita Solat Subuh tak pagi tadi? Terlalu banyak yang boleh kita kaitkan. Cuba kita koreksi sebentar. Subhanallah! Banyaknya dosa yang telah kita lakukan. Melihat aurat saudara kita, berbicara dengan kalimah yang kurang menyenagkan, tidak memberi penghormatan yang sepenuhnya kepada kedua ibu bapa kita. Ya Allah, begitu banyak dosa yang telah kita lakukan.

                Maka, menjadi satu kewajipan kepada si pendosa untuk memohon ampun. Betul tak? Cuba kita perhati sekejap. Si A telah memukul si B, maka menjadi kewajipan ke atas si A untuk memohon maaf kepada si B atas apa yang telah diperlakukan. Ini adalah sunnatullah. Lumrah dalam kehidupan kita bukan?

Ada ke suruhan untuk bertaubat?

                Memang ada suruhan untuk bertaubat. Ianya memang terdapat dalam al-Quranul Karim. Disini saya ingin mengutarakan beberapa ayat mengenai suruhan bertaubat.

Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya” Surah an-Nur ; ayat 31

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (daripada perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadanya” surah hud ; ayat 3

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang sebenar-benarnya)” Surah at-tahrim ; ayat 8

Bukan hanya ini sahaja ayat yang menerangkan perihal taubat. Terlalu banyak ayat perihal taubat yang terdapat dalam Al-Quran. Jadi, sebagai kerja rumah untuk kita semua, sama-sama kita membuka mushaf Al-Quran yang terdapat di rumah kita, selak helaian demi helaian dan carilah ayat mengenai ini. Bukan apa. Sambil-sambil kita ingin mencari ayat mengenai taubat, kita bacalah sekali ayat yang terdapat dalam Al-Quran tu. Nak tambah pahala. Mesti nak pahala kan? Siapa yang tak nak kan?

Sebelum kita pergi jauh, saya ingin nukilkan sebuah hadith yang menceritakan perihal hebatnya taubat nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W. sedangkan kita tahu bahawa baginda adalah seorang yang maksum. Tapi, baginda tetap memohon ampun kepada Allah. Betapa hebat dan sucinya hati nabi kita Nabi Muhammad S.A.W.

Abu Hurairah r.a. berkata: “Saya pernah mendengar Nabi Muhammad S.A.W. berkata: ‘Demi Allah, percayalah, setiap hari saya memohon ampun daripada Allah, dan saya bertaubat kepadanya lebih 70 kali sehari” H.R. Bukhari.

Allah itu Maha Pengampun

                Seperti yang telah kita bahaskan sebelum ini, telah menjadi satu kewajipan kepada kita untuk memohon ampun kepada Allah atas segala dosa yang telah kita lakukan. Tapi, apakah Allah akan menerima taubat kita? Apakah Allah akan mengampunkan kita?

                Ya! Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Mohonlah pengampunan kepada Allah nescaya Allah akan memberi pengampunan kepada kita. Kenapa? Sebab Allah itu amat menyayangi kita, amat mengasihi kita sehingga jika kita membawa dosa sebesar bumi dan seisinya selagi kita tidak mensyirikkan Allah. Nescaya Allah akan mengampunkan kita.

Firman Allah s.w.t. dalam al-Quran:

“Dan hendaklah kamu memohon ampun kepada Allah kerana sesungguhnya Allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihani” Surah An-Nisa’ ; ayat 106

“Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadanya. Sesungguhnya Dia sangat menerima taubat” Surah An-Nasr ; ayat 3

“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat), kemudian dia memohon ampun kepada Allah, dia akan mendapati Allah itu maha pengampun lagi maha mengasihani” Surah An-Nisa’ ; ayat 110

“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedangkan kamu (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedangkan mereka beristighfar” Surah Al-Anfal ; ayat 33

Sebenarnya, terlalu banyak ayat yang menerangkan perihal Allah itu Maha Pengampun. Sememangnya Allah itu Maha Pengampun. Tetapi kita yang tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu akan hakikat ini. Sesungguhnya Allah telah menegaskan dalam Al-Quran yang Dia Maha Pengampun tetapi kita masih berdegil. Masih mahu bergelumang dengan dosa. Tidak mahu memohon ampun. Kenapa? Kerana kita telah dibutakan oleh syaitan.

Ayuh! Buka mata kita, pandanglah ke hadapan. Ambillah Al-Quran dan As-Sunnah sebagai teras kehidupan kita. Jadikan ia sebagai tali pengikat tubuh kita, moga dengan tali itu, tubuh kita akan terselamat dari terjatuh ke lembah kebinasaan. Mari bersama saya kita kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Jom! Kembali kepada Allah s.w.t. Tuhan kita, Tuhan sekalian alam.

Penutup

                Mungkin kita akan bertemu lagi di artikel yang akan datang. Buat artikel kali ini, saya rasa cukuplah dahulu. Jika diberi kesempatan oleh Allah, saya akan sambung artikel ini. Insya Allah. Moga Allah permudahkan segala urusan. Mungkin kita akan membicarakan perihal ganjaran jika kita bertaubat atau cerita-cerita yang menarik mengenai kehebatan taubat. Insya Allah. Sebelum saya mengakhiri kalam saya kali ini, sudilah saya untuk menceritakan satu cerita yang masyhur. Yang terdapat dalam Kitab Hadith Sohih Bukhari Dan Muslim. Cerita ini sememangnya direkodkan oleh Imam Bukhari Dan Muslim.

                Abu said, nama sebenarnya Saad Bin Sinan Al-Khudri, melaporkan Nabi Muhammad s.a.w. pernah berkata: “Pada suatu masa dahulu, ada seorang lelaki yang sudah membunuh 99 orang. Kemudian dia bertanya, ‘siapakah manusia yang paling alim di dunia ini?’ lalu ditunjukkan seorang pendeta. Lelaki itu pergi berjumpa pendeta itu dan mengaku bahawa dia sudah membunuh 99 orang, adakah taubatnya masih dapat diterima? Pendeta itu menjawab: ‘tidak diterima’ Lelaki itu kemudian membunuh pendeta itu, dengan demikian genaplah 100 orang yang telah dibunuhnya.

                Kemudian dia bertanya lagi, ‘ siapakah manusia yang paling alim di dunia ini?’ kemudian dia ditunjukkan seorang yang alim. Kepada orang alim itu dia mengaku dia sudah membunuh 100 orang, adakah taubatnya masih diterima? Orang alim itu menjawab: ‘ya, masih diterima, tidak ada sesiapa yang dapat menghalang saudara daripada bertaubat. Pergilah saudara ke tempat begini dan begini. Di sana ada sekumpulan orang yang menyembah Allah yang maha agung. Ikutlah mereka menyembah Allah, dan jangan pulang ke tempat asal saudara, sebab tempat itu tempat yang buruk.’

                Lelaki itu terus pergi. Di tengah-tengah perjalanan, tiba-tiba dia menemui ajalnya. Maka malaikat rahmat dan malaikat azab(seksaan) bertengkar dan mempersoalkan kedudukan lelaki itu. Kata malaikat rahmat, ‘lelaki ini datang untuk bertaubat dan hatinya menghadap kepada Allah yang maha agung’ malaikat azab(seksaan) berkata, ‘lelaki ini belum pernah melakukan kebaikan, walau sedikit pun.’

Kemudian, datang malaikat lain dengan rupa sebagai manusia. Dia menjadi hakim kepada kedua-dua malaikat tadi bagi memutuskan siapa yang benar. Katanya, ‘kamu ukur jarak antara dua tempat itu, yang mana lebih dekat, maka lelaki ini menjadi milik tempat itu.’

Kedua-dua malaikt itu pun mengukur, kemudian didapati lelaki itu lebih dekat kepada tempat yang ditujunya. Oleh itu dia di ambil oleh malaikat rahmat.”                   H.R. Bukhari dan Muslim  

No comments:

Post a Comment