Pages

Friday, January 27, 2012

Ayuh sebarkan salam.

Alhamdulillah, pada hari ini saya diberi kesempatan oleh Allah s.w.t untuk menulis satu artikel. Agaknya sudah terlalu lama saya tidak menyiarkan apa-apa bahan bacaan buat para pembaca. Ampun dan maaf saya pohon. Pada kali ini, saya ingin membicarakan perihal memberi salam.

                Mengapa pelu menyebarkan salam? Ha, ini satu soalan yang amat baik. Sebelum itu mari kita perhatikan definisi salam itu sendiri. Salam ini memberi maksud selamat. Ini bermakna apabila kita memberi salam kepada saudara kita, kita telah mendoakan keselamatan ke atas dirinya. Tak percaya? Jom kita sama-sama perhatikan definisi bagi ayat ini: “Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh”. Ianya bermaksud: “Salam(selamat) serta rahmat dan barakat ke atas diri kamu.” Ini adalah terjemahan secara rambang sahaja tapi kalau mahukan terjemahan yang lebih panjang, silalah rujuk pada mana-mana individu yang pakar.

                Melalui ayat tersebut, kita telah mendoakan tiga perkara pada saudara kita. Pertama, selamat. Keselamatan amat penting dalam kehidupan kita seharian ini. Maka, kita perlulah banyak berdoa agar kita selamat pada setiap masa. Tentu sahaj kita akan lupa untuk berdoa kepada Allah agar memberi keselamatan kepada kita. Betul tak? Maka, inisiatif yang telah dibuat dalam Islam ialah dengan memberi salam. Kita mendoakan keselamatan kepada saudara kita dan saudara kita pula mendoakan perkara yang sama kepada kita. Wah, indahnya hidup kalau semua manusia saling mendoakan keselamatan sesama mereka.

                Kedua, rahmat dan yang ketiga pula ialah berkat. Sesungguhnya segala sesuatu yang kita laksanakan di atas muka bumi ini adalah kerana izin serta rahmat dari allah s.w.t. kita hidup atas rahmat Allah. Kita makan atas rahmat Allah. Kita tidur atas rahmat Allah dan nanti kita masuk syurga juga adalah kerana rahmat Allah. Bukan dengan amalan yang telah kita buat di atas muka bumi ini tetapi ianya hanyalah kerana rahmat Allah. Menjadi satu kewajipan kepada kita untuk berdoa agar Allah s.w.t. sentiasa memberi serta menitiskan rahmat-Nya ke atas diri kita yang hina ini.

                Di sini saya ingin utarakan sepotong hadith yang menceritakan perihal hak untuk muslim yang lain. Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. telah bersabda: “ terdapat enam hak muslim ke atas seorang muslim.” Ditanyakan kepada baginda, ‘Apakah ia wahai Rasulallah?’ baginda bersabda: “Apabila kamu bertemu dengannya, ucaplah salam kepadanya; apabila ia menjemput kamu, tunaikanlah jemputannya; apabila ia meminta nasihat, berilah nasihat kepadanya; apabila ia bersin kemudian ia memuji Allah, jawablah untuknya dengan mengatakan Yarhamukallah( semoga Allah merahmati kamu); apabila ia sakit, ziarahilah ia; apabila ia mati iringilah jenazahnya.”                   H.R. Muslim

                Rupa-rupanya memberi salam kepada saudara kita ini adalah satu hak ke atas mereka. Apabila ia menjadi hak atas seoarang muslim yang lain maka menjadi satu tanggungjawab ke atas diri kita ini untuk menunaikan hak tersebut. Jika kita tidak menuanaikan tanggungjawab yang ada pada diri kita ini, nescaya kita akan dipersoalkan akan perihal ini di hadapan Allah s.w.t. di mahkamah agung-Nya. Ayuh kita ambil masa sedikit, kita koreksi diri kita sebentar, apakah keenam-enam hak untuk muslim yang lain telah kita tunaikan. Apakah telah terlaksana tanggungjawab tersebut. Jika belum terlaksana, mari bersama saya kita tanamkan dalam lubuk hati kita bahawa kita akan menunaikan hak tersebut. Moga denagn menunaikan hak tersebut, kita akan menjadi seorang hamba Allah yang mukmin serta seorang yang telah menggapai redha Allah. Insya Allah.

                Hadith yang kedua yang ingin saya bawa pada artikel kali ini mengenai mengucapkan salam: Daripada Abdullah bin Salam r.a. Nabi s.a.w. telah bersabda: “Wahai manusia! Ucapkanlah salam, berilah makanan dan tunaikanlah solat pada waktu malam ketika manusia sedang tidur; nescaya kamu memasuki syurga dengan selamat.”                                                                                              H.R. at-Tarmizi

                Subhanallah, ini satu ganjaran yang sangat besar. Dengan memberi salam serta melakukan apa yang telah disuruh oleh Allah s.w.t serta yang termaktub dalam hadith baginda, kita akan memasuki syurga Allah s.w.t. dengan aman dan selamat, insya Allah. Apakah kita tidak mahu memsuki syurga Allah s.w.t. yang begitu luas dan penuh dengan kenikmatan? Saya yakin dan amat pasti, tidak ada walau seorang pun yang tidak mahu memasuki syurga. Semuanya mahu masuk syurga. Betul tak? Dan tidak ada yang mahu masuk ke dalam neraka Allah yang amat pedih seksanya serta buruk pandangannya. Nak masuk neraka? Na’uzubillahi min zalik!

                Baiklah, mungkin sampai disini sahaja pertemuan kita kali ini, ampun dan maaf jika sepanjang saya menulis artikel ini, saya ada melakukan sebarang kesalahan atau telah menggores hati mana-mana pihak. Saya hanyalah seorang hamba Allah yang kerdil sahaja yang selalu melakukan kesilapan. Tegurlah saya jika ada salah dan silap sepanjang saya menulis artikel ini. Salam ukhuwwah dari saya. Moga bertemu lagi dalam artikel-artikel yang akan datang, insya Allah. Wassalam.

No comments:

Post a Comment