Pages

Friday, February 10, 2012

Sinar Gemilang

      Bismillahirrahmanirrahim.. Ku titipkan  kalimah yang penuh makna sebelum pena melengguk tarinya.Selawat dan salam buat junjungan mulia serta ahli keluarga dan seluruh sahabat handai yang membenarkankan kata-kata Baginda.


      Topik yang cuba ana ketengahkan dalam artikel ini berkisar tentang keputusan peperiksaan  yang baru diumumkan baru-baru ini tidak kiralah sama ada PMR, SMU dan STAM. Pada hari tersebut kelihatan para pelajar resah gelisah menantikan saat-saat  yang cukup mendebarkan. Sudah menjadi adat dunia kadangkala manusia itu mudah berkecamuk dengan gelora dan tidak kurang juga yang asyik melonjak gembira. Jika tiada insan yang berduka,sudah tentu tiada kemanisan dalam melayari bahtera kehidupan dan jika tiada rasa gembira sudah tentu dunia ini tampak muram saja.

     Sejam sebelum keputusan diumumkan ada yang tenang menunduk ke bumi dan ada yang mula menggelabah seakan-akan cacing kepanasan. Ana cukup mengerti perasaan ikhwah sekalian . Almaklumlah,orang beri kepercayaan takkkan mungkin kita leburkan.Saat itu terbayang raut wajah bonda dan ayahanda tercinta. Tap3x,, air mata mula menghujani pipi. Hati menjadi gelisah memikirkannya. Cuba kita renungkan firman ALLAH dalam surah Ar-Ra’d:28

“iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH,ingatlah hanya mengingati ALLAH hati menjadi tenteram”

    Terjemahan di atas menunjukkan betapa pentingnya pengharapan kita kepada Sang Pencipta dengan selalu merenung dan menghayati ayat-ayat suciNYA.Tiada siapa selainNYA yang berhak ke atas sesuatu yang DIA kehendaki. Kita hanya mampu berdoa, [1]berdoa dan terus berdoa agar kejayaan sentiasa mengiringi kita. Bagaimana pula jika natijah yang diperolehi agak mendukakan? Hmm,, pasti ramai yang mula menyalahkan takdir.Ana yakin sahabat sekalian pernah mengalami  situasi ini yang mana si A menjadikan alasan demam  sebagai punca kegagalan. Amat tidak wajar kenyataan tersebut keluar daripada mulut golongan yang terpelajar. Sahabat yang dikasihi sekalian, sukanya ana ingatkan walau sesakit mana pun kita, ingatlah itu semua penawar bagi dosa. Na’uzubillah,,tidak mustahil lama-kelamaan kenyataan ini mampu memesongkan akidah kita.Ana harap perkara sebegini tidak akan berulang dalam kamus kehidupan teman sekalian.


    Sepatutnya kita bersyukur kerana masih lagi diberi kesempatan untuk terus beribadat kepada Yang Esa. Andai kata hari esok adalah hari kematian kita,maka tiadalah usaha untuk memperbaiki kelemahan dan kegagalan dalam diri. Dunia ini diciptakan begitu luas untuk manusia mengkaji, meneliti  dan mengambil faedah apa yang ada di dalam perutnya. Kata-kata hukama’ ada berbunyi  “Apabila seseorang berhajat, hendaklah ia berusaha bersungguh-sungguh”. Apa yang dihajati mestilah seiring dengan usaha bukan sekadar omongan semata-mata.Oleh itu hendaklah bersabar di atas ujian yang diberikan.Ayuh kita merenung sejenak firman Allah dalam surah Al-Imran :

            Janganlah kamu merasa lemah dan berdukacita padahal kamulah orang-orang paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman”:139

      “wahai orang-orang yang beriman!bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu(lebih daripada kesabaran musuh,di medan perjuangan),dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan)serta bertaqwalah kepada Allah supaya kamu berjaya(peroleh kemenangan):200


   Subhanallah,,begitu besar mandat yang diberikan oleh Allah kepada insan yang kecewa lantas mereka bangkit untuk meraih kegemilangan dalam hidup.Bagi insan yang cemerlang,anggaplah kejayaan itu sebagai titik permulaan untuk terus mengorak langkah sekaligus mencapai keredhaaNYA.Usahlah ditakburkan dengan apa yang kita perolehi kerna ia boleh menggugat keimanan kita kepada Rabbul Izzati.Kejayaan juga satu ujian bagi seorang hamba sama ada mereka menerima dengan cara bersyukur mahupun sebaliknya.Usahalah semampumu untuk terus mendapat kemanisan tapi jangan sesekali beraqidah bahawa banyak usaha penentu kejayaan kerana kejayaan bukan milik sesiapa tetapi milik Allah.Untuk mendapat keberkatan dalam menuntut ilmu,marilah kita sama-sama merenung sepotong hadith di bawah:

Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya: “tidaklah harus orang yang tak tahu itu diam dalam ketidaktahuan(kebodohan)dan tidaklah harus orang yang berilmu diam dengan             
                                                                                  Ilmunya(tidak mengajar)”   >H.R.Attabrani<

Fikirlah secara global,teramat rugi bagi golongan cerdik pandai yang lokek ilmunya dek kerana tamak untuk mengejar dunia semata-semata tanpa memikirkan ganjaran menyampaikan ilmu disisi pencipta.Ingat,sebaik-baik manusia ialah orang yang suka memberi manfaat kepada orang lain.Oleh itu wahai saudaraku yang dikasihi,marilah kita bersatu seperti semut kecil yang senangtiasa bergotong-royong mendapatkan sesuap makanan agar mereka sama-sama merasai kelazatan tersebut.Hikmah yang dapat kita perolehi daripada makhluk ini ialah mereka mengajar kita erti kasih sayang dan ikhwah sesama manusia moga-moga makin ramai generasi cendekiawan dapat dilahirkan hasil didikan yang sempurna.Al-Amin sering berdoa supaya bertambahnya ilmu sebagaimana firmanNya yang bermaksud :

“..........Dan katakanlah: Ya Tuhanku,tambahkan kepadaku ilmu pengetahuan “ (surah Taha : 114)

  Sebagai kesimpulan kata,semoga Allah sentiasa merahmati kehidupan hamba-hambaNya di bawah naungan payung rahmat.Ayuhlah kita menadah tangan memohon kepada ‘azza wajalla agar dipermudahkan segala urusan dan melebarkan sayap keimanan kepada seluruh penuntut-penuntut ilmu agama serta merestui hayat ‘abdiNya.

Wallahu’alam                                                  
       p/s:Hakikat sebenar orang yang bijak ialah orang yang takut kepada Allah

Hasil nukilan: Nurul Faizah bt Abdul Rasyid

No comments:

Post a Comment