Sempena bulan Rabiul Awwal yang sedang kita tempuhi ini, hati saya tertarik untuk menulis sebuah artikel mengenai junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi kita yang amat kita cintai. Hadirnya bulan ini, begitu banyak mesej yang saya terima dari teman-teman perihal maulidur rasul. Satu mesej yang saya ingin kongsi bersama para pembaca pada kali ini berbunyi seperti ini:
“Salam Maulidur Rasul. Hidupkan hati-hati kita dengan mengingati kekasih Allah dengan berselawat kepada Baginda S.A.W. Moga kita mendapat syafaat dan Rasulullah S.A.W. mengenali kita. Sollu ‘Alan Nabiy.”
Selawat tanda cinta?
Betul ke selawat ke atas nabi itu tanda cinta kepada baginda? Kenapa saya cakap selawat itu sebagai tanda cinta kita kepada baginda Rasulullah S.A.W? Baiklah. Jom kita renung bersama. Kalau kita cinta pada seseorang pasti kita akan selalu mengingatinya. Betul tak? Contoh yang mudah. Si A amat mencintai si B. Setiap masa, keadaan dan situasi, si A pasti akan mengingati si B kerana mendalamnya cinta mereka. Tengah makan pun ingat si B, mandi pun ingat si B sehingga setiap pekerjaan yang dilakukan, si B tidak pernah dilupai.
Wah! Begitu dalam cinta mereka. Tetapi ikhwan dan akhowat sekalian, ini Nabi, Rasul kita, kekasih Allah S.W.T. apakah tidak layak bagi baginda Rasulullah S.A.W. untuk dicintai dan diingati? Subhanallah! Bahkan itulah yang selayak-layaknya. Cinta pada Rasulullah S.A.W. yang patut kita dahulukan daripada cinta-cinta yang lain. Sepanjang hidup baginda, baginda selalu mengingati kita. Subhanallah! Kita? Kita ingat tak dekat Nabi kita? Kita kenangkan tak Nabi kita?
Kita laungkan dengan nada suara yang kuat. Aku Cinta Rasulullah S.A.W.! pekikan yang begitu dahsyat. Tapi? Apa bukti kita benar-benar cinta pada baginda? Hanya dengan ungkap? Semua orang boleh ungkapkan ayat tersebut. Tapi, apa bukti kita? Banyak yang boleh kita laksanakan sebagai tanda kita cinta pada baginda Rasulullah S.A.W. Contohnya dengan membaca sirah, berselawat keatas baginda, mengamalkan sunnah baginda dan banyak lagi.
Sabuah hadith yang amat menarik:
Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. Nabi S.A.W. bersabda:
“Seorang itu adalah bersama dengan orang yang ia kasihi” (H.R. Bukhari dan Muslim)
-Sesiapa yang mengasihi suatu golongan dengan ikhlas ia akan dihimpunkan bersama mereka. Sekalipun amalannya tidak menyamai mereka, tetapi hatinya telah mendekati. Kemungkinan kasih sayang itu mendorongnya untuk melakukan amalan yang sama (‘Aun al- Ma’bud)
Selawat ada kelebihannya yang tersendiri?
Ya. Memang ada kelebihan. Disini saya ingin mengambil kesempatan untuk membawa beberapa potong hadith mengenai kelebihan berselawat.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“Orang yang paling hampir denganku pada hari akhirat adalah orang yang paling banyak berselawat ke atasku di dunia” (H.R. at-Tirmizi, al-Bazzar dan Ibn Hibban dalam kitab sahihnya)
Subhanallah! Ada sesiapa yang mahu melepaskan peluang emas ini? Peluang untuk berada di sisi Rasulullah S.A.W. yang kita cintai. Kalau tak mahu lepaskan peluang ini, jom bersama saya kita perbanyakkan selawat kita ke atas baginda Nabi S.A.W.
Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“Orang yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali” (H.R. Muslim)
Dalam Syarah Sahih Muslim, maksud bagi kalimah ‘Allah berselawat’ itu ialah rahmat dan gandaan ganjaran daripada Allah S.W.T. Masya Allah! Sekali kita berselawat ke atas baginda, kita mendapat 10 rahmat dan gandaan ganjaran dari Rabb kita Allah S.W.T. bayangkan kalau kita berselawat 100 kali, 1000 rahmat dan gandaan ganjaran dari Allah S.W.T. luasnya rahmat Allah. Dalam kita cuba menzahirkan rasa cinta dan kasih kita pada baginda Rasulullah S.A.W. Allah S.W.T memberi ganjaran atas apa yang kita lakukan. Yakinlah wahai ikhwan dan akhowat, janji Allah itu benar. Ini semua bukanlah suatu pekerjaan yang sia-sia.
Apa tunggu lagi?
Jom bersama saya,
Kita berselawat ke atas junjungn besar Nabi Muhammad S.A.W.
Tanda cinta kita pada baginda,
Ya Rasulullah S.A.W.
Kami Mencintaimu!
Allahumma Solli wa Sallim ‘Ala Nabiyyina Muhammad,
‘Alaihis Solatu was Salam...
subhanallah .,barakallahufik
ReplyDelete