Sedang diriku asyik mengalunkan al-Quran, mataku terpaku pada ayat yang ke 30, surah an-nur muka surat 353, juzu’ 18 yang bermaksud:
“ Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat(menjaga) pandangan mereka (dari memandang yang haram), dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan”
Hatiku terdetik, mengapa Allah S.W.T menyuruh kita untuk menjaga pandangan dan menjaga kemaluan kita? Memori yang tersimpan rapi dalam kotak ingatan saya mulai menampilkan diri. Saya teringat dengan satu kata-kata yang meniti keluar menghiasi percakapan salah seorang teman saya. Dia menyebut ‘terbitnya nafsu syahwat kita dalam diri kita ini bermulanya dari kaca mata kita. Oleh kerana mata kita melihat sesuatu yang menjolok mata memandang, nafsu akan mulai mengambil alih. Jagalah pandangan kamu’
Kata-kata tersebut terngiang-ngiang di telinga saya. Kalau kita perhatikan dan kita gunakan akal fikiran yang Allah kurniakan kepada kita. Memang benar apa yang di utarakan oleh sahabat saya itu. Oleh kerana kita memandang sesuatu perkara yang dapat memberahikan diri kita maka nafsu mulai mengambil alih dan jika iman yang mantap tidak menampilkan diri untuk menegah perkara keji tersebut, mungkin sahaja sesuatu perbuatan keji akan berlaku. Zina.
Saya ada membelek sebuah tafsir al-Quran yang menerangkan perihal ayat ini. Antara isi yang boleh saya sertakan dalam tazkirah saya ini ialah:
a. Pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi yang beriman hendaklah menjaga dan membatasi pandangan mereka terhadap lawan jenisnya. Ini kerana pandangan akan menimbulkan ghairah. Ghairah akan mengobarkan syahwat. Syahwat akan mendorong kita melakukan maksiat. Dikatakan, ‘pandangan itu berbisa.’ Ada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawasanya Rasulullah S.A.W. berkata kepada Ali, ‘Hai Ali! Janganlah kamu iringi pandangan pertama dengan pandangan kedua. Pandangan pertama adalah untukmu(tidak berdosa kerana ia adalah perkara yang tidak di sengajakan) dan pandangan kedua bukanlah untukmu lagi(haram).
b. Pemuda mahupun pemudi yang beriman hendaklah menjaga pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka/kehormatan mereka daripada melakukan maksiat yang keji. Zina. Ustaz saya yang bernama Ustaz Suzani Jaafar ketika memberikan tazkirah ada menyebut, ‘antara ciri-ciri mukmin yang berjaya adalah mereka yang menjaga kemaluan/kehormatan mereka.’ Itulah yang disebut oleh Allah dalam surah al- Mukminun ayat 5 yang menerangkan ciri-ciri seorang mukmin yang berjaya.
c. Mengenai orang berjaya yang dimaksudkan dalam ayat pertama surah ini; Surah al-Mukminun (seperti termaktub dalam tafsir pimpinan ar- Rahman) ialah: orang-orang yang beriman yang tetap berjaya mencapai keselamatan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat kelak ialah orang-orangyang mengerjakan suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya yang diterangkan ayat-ayat yang berikutnya.
Jika kita perhatikan, ayat tersebut dimulai dengan “katakanlah (wahai Muhammad) kepada pemuda-pemuda yang beriman...” disini dapat kita fahami bahawa ianya ditujukan kepada orang yang beriman. Bukankah kita ini beriman? Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya? Bukankah kita telah bersyahadah “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku juga bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah”?
Jelas sekali bahawa ayat itu ditujukan kepada kita kerana kita adalah orang yang beriman pada-Nya. Mengapa kita ingin mengingkari ayat tersebut sedangkan itu adalah ayat yang dipetik dari al-Quran. Kitab suci umat Islam. Mukjizat yang paling besar yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya, Nabi Muhammad S.A.W. Menjadi kewajipan kepada kita sebagai hamba Allah untuk mentaati suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Moga kita tergolong dalam hamba-hamba-Nya yang berjaya.
Intihanya, saya menyeru kepada diri saya sendiri, semua sahabat, semua pembaca agar kita kembali kepada al-Quran dan al-Hadith. Bersama kita bergerak untuk mentaati segala suruhan-Nya dan meninggalkan bahkan menjauhi segala larangan-Nya. Yakinlah wahai saudara-saudaraku sekalian, setiap apa yang disuruh oleh Rabb kita pasti ada kebaikan di sebaliknya dan setiap apa yang dilarang oleh Dia pasti ada kejelekan atau keburukan di sebaliknya.
Ayuh bersama kita semua bergerak menuju redha Allah,
Taati segala suruhan-Nya,
Tinggalkan dan jauhi segala larangan-Nya.
Ingin bersama kami?
Ayuh!
No comments:
Post a Comment