Pages

Thursday, June 16, 2011

Hidupkan Budaya Membaca


Dewasa ini, amalan membaca dalam masyarakat kita amatlah kurang. Tidak ramai yang mempunyai minat untuk membaca. Pada 2.6.2011, saya bersama teman-teman menaiki motor untuk ke Maktabah Az-Zahra untuk mencari bahan dan maklumat bagi keja kursus yang perlu kami semua siapkan. Tapi malangnya maktabah itu tutup kerana pada hari itu bukanlah waktu beroperasi bagi maktabah itu. Memandangkan maktabah itu tutup, kami tetap meneruskan hasrat kami untuk mancari maklumat. Kami pergi ke Perpustakaan Awam Negeri Kelantan.

Apabila saya menjejakkan kaki ke dalam perpustakaan tersebut, saya terkejut. Wow! Banyaknya buku. Tetapi orangnya sedikit sangat sehingga teman saya berkata: “Kalau nak pergi kat tempat yang sedikit orang, datanglah maktabah, kalau tak pun masjid.” Bukankah disitu sudah jelas bahawa tidak ramai yang mempunyai minat untuk membaca. Walhal di maktabahlah tempat untuk mencari maklumat, menimba ilmu dan sebagainya kerana disana ada banyak bahan bacaan yang boleh kita dapat.

Daripada Anas bin Malik r.a, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Menuntut ilmu adalah fardhu atas setiap orang Islam, dan penuntut ilmu akan didoa keampunan oleh semua termasuk ikan-ikan”
Melalui hadith ini, dapat saya fahami bahawa menuntut ilmu adalah fardhu atas diri saya dan semua saudara-saudara seislam saya. Bukankah dengan membaca dapat menambahkan ilmu? Membaca adalah salah satu cabang untuk mendapatkan ilmu. Tetapi ramai diantara kita beranggapan bahawa menuntut ilmu itu bermaksud duduk dalam kelas, dengar syarahan, dengar tazkirah, dengar ceramah dan sebagainya. Tanggapan itu sebenarnya salah. Jangan kita menyempitkan skop mendapatkan ilmu.

Wahai saudara-saudaraku yang saya hormati, banyak manfaat yang akan kita perolehi jika kita membaca. Dalam buku Himpunan Hadis Modal Insan jilid 1 yang dikarang oleh Dr. Zulkifli Mohamad Bakri, dalam bab Berilmu. Beliau menyelitkan manfaat membaca yang mana ingin saya utarakan disini buat tatapan kita semua. Antaranya ialah:

1.        Menghilangkan perasaan was-was, gelisah dan sedih.
2.       Dapat menyibukkan diri seseorang yang daripada kegiatan para penganggur.
3.       Mengembangkan akal, meningkatkan pemikiran dan menjernihkan hati.
4.      Dengan membaca, seseorang itu dapat memperolehi ilmu yang berlimpah serta berbagai-bagai pemahaman daripada satu masalah.
5.       Dapat menambahkan keimanan, terutamanya ketika membaca buku-buku berkaitan dengan Islam. Sebab,  kitab itu seperti penasihat, pemberi peringatan yang terpenting, pencegah yang terbesar dan hakim yang paling adil untuk memeutuskan sesuatu perkara.

Masih banyak lagi manfaat yang dapat kita cungkil jika kita mencari hikmah dan manfaat membaca. Jika tidak mempunyai hikmah yang besar, masakan wahyu pertama yang diturunkan kepada junjungan besar kita Rasulullah s.a.w ialah membaca. Dalam surah al-Alaq ayat 1-5 yang mana ayat itu menerangkan bahawa peri pentingnya membaca.

“Bacalah(wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk) (1) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku (2) Bacalah, dan Tuhanmu Maha Pemurah (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan (4) Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (5)”

Melalui ayat ini, bukankah ia berbentuk satu suruhan untuk membaca? Tentu sahaja dengan membaca itu banyak faedahnya. Kalau perkara itu sia-sia, Allah pasti tidak akan menyuruh kita selaku hambanya untuk melakukannya. Setiap ciptaan Allah itu ada faedahnya yang terkadang dapat kita singkapi dan terkadang tidak dapat kita ketahui hikmah disebaliknya. Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 191 yang bermaksud:

“Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): ‘ Ya Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka (191)”

Kata pujangga ada mengatakan: Perpustakaan peribadi anda adalah kebun yang rendang dan taman yang penuh dengan bunga-bunga di sekitar rumah anda. Nikmatilah kebun dan taman itu bersama dengan para ulama, para bijaksana, para sasterawan dan para penyair. Juga terdapat kata-kata yang man berbunyi: Faedah membaca itu banyak sekali, antaranya melancarkan lidah, mengembangkan akal, menjernihkan fikiran, menghilangkan keresahan, mengambil pelajaran daripada berbagai pengalaman, memetik nilai-nilai keutamaan.

Wah! Banyak sangat faedah membaca. Tetapi masih ramai yang tidak suka membaca. Perpustakaan atau maktabah sangat jarang dijejaki, apatah lagi diterokai. Ada orang kata perpustakaan ini ibarat satu mimpi ngeri buat orang yang tidak suka membaca atau lebih mudah difahami. Orang yang malas nak membaca. Mereka menganggap perpustakaan itu adalah seperti satu bayangan yang amat menakutkan. Hakikatnya perpustakaan adalah tempat yang seronok, tidak mengerikan dan bukanlah satu bayangan yang amat menakutkan. Tidak percaya? Luangkan sedikit masa untuk ke perpustakaan yang berdekatan dengan kediaman kita.

Ayuh bersama saya,
Kita ubah sikap malas membaca kepada ingin membaca.
Membaca adalah suatu fi’il yang amat seronok.
Apabila membaca,
Satu pengembaraan bermula.
Tidak mahu mencuba?
Jangan segan wahai temanku,
Ambil buku dan baca.
Jom kita hidupkan budaya membaca.....

No comments:

Post a Comment