Pages

Thursday, June 23, 2011

Coretan…


Sesungguhnya semua artikel yang dicipta bukanlah untuk menjatuhkan atau dituju kepada mana-mana pihak tetapi ianya hanyalah satu peringatan atau tazkirah ringkas buat diri saya sendiri dan kita semua sebagai seorang hamba Allah yang Maha Besar. Memberi dan menerima atau mendengar peringatan atau tazkirah itu amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman.

Manusia sering alpa dalam semua hal. Peringatan adalah untuk memperingatkan kembali apa yang telah dilupakan. Maka dengan cara ini, hati kita akan lebih cerah dan selalu terdorong untuk melakukan amal soleh kepada Allah s.w.t. Dengan tazkirah ini juga dapat mengejutkan hati dari tidur yang panjang. Memperkasa kembali ruh Islam dan Iman yang lemah kerana kita selalu menuruti hawa nafsu.

Harapan saya ialah, moga dengan artikel yang dicipta khas buat kita semua ini dapat menjadi wasilah untuk mendekatkan lagi diri kita kepada pencipta kita Allah s.w.t. yang Maha Agung. Dapat memberi motivasi pada diri agar lebih cenderung untuk melakukan amal soleh serta memantapkan lagi iman dalam hati sanubari kita, insya Allah.

Tegurlah saya jika saya tersalah dalam memberikan pendapat. Sama-sama kita menegur. Moga menjadi seorang insan yang mantap disisi Allah s.w.t. Tujuan kita hanyalah ingin mencari dan mengecapi redha Allah s.w.t. wassalamualaikum..

MALU; SATU SIFAT YANG TERPUJI


Ramai dikalangan masyarakat kita pada zaman sekarang sudah mulai tidak malu untuk melakukan sebarang maksiat, dosa serta segala hal yang boleh mengundang rasa malu. Seperti perasaan malu itu sudah tidak wujud dalam sanubari mereka. Mereka tidak malu mendedahkan aurat di khalayak ramai. Tubuh mereka menjadi tontonan percuma buat mata yang dipengaruhi syaitan. Maka pandangan mereka berbaur syahwat. Apabila syahwat mulai naik, maka terjadilah sumbang mahram yang sangat ditegah oleh syariat Islam. Ini semua berpunca dari apa? Tidak lain dan tidak bukan hanya kerana mereka tidak malu.

Abu Mas’ud Uqbah bin Amr al-Anshary al-Badry r.a. melaporkan, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya ungkapan yang telah dikenali orang-orang daripada ucapan nabi-nabi terdahulu adalah, ‘Jika engkau tidak malu, perbuatlah apa yang kamu suka’”                               H.R. Bukhari

Dalam hadith ini, ustaz saya pernah mensyarah hadith ini dalam usrah. Ustaz Roslan mengatakan bahawa dalam hadith ini membawa 2 pengertian. Pertama, ianya berbentuk satu larangan tegas daripada Baginda Rasulullah s.a.w. Kedua, ianya membawa erti bahawa Baginda ingin mengatakan perihal indahnya malu. Mengikut pandangan ulama yang rajih, pendapat pertama yang paling di sokong.

Apa yang diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith tersebut: “ucapan nabi-nabi terdahulu”. Ini membawa erti bahawa sifat malu adalah syariat para nabi-nabi sejak Nabi Adam hinggalah zaman Rasulullah s.a.w. Salah satu syariat yang tidak digugurkan. Dalam buku Syarah Hadis 40 Imam Nawawi karangan Fahrur Muis dan Muhammad Suhadi dalam bab keutamaan malu, ia menyebut bahawa pesanan ini mengandungi dua erti:

Pertama, sekiranya kamu tidak malu untuk melakukan perbuatan yang memalukan, lakukanlah apa sahaja yang engkau suka.

Kedua, sekiranya manusia sudah tidak mempunyai rasa malu, maka dia melakukan apa sahaja yang dia inginkan.

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, malu adalah salah satu syariat yang tidak digugurkan dan syariat ini masih diteruskan dan ditetapkan dalam Islam. Bahkan dalam syariat Islam, malu dianggap sebagai sebahagian daripada iman. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Iman itu lebih daripada tujuh puluh atau enam puluh cabang,maka yang paling afdhalnya ialah ucapan La Ilaha IllAllah, dan yang paling rendahnya membuang perkara yang menyakiti dari jalan dan malu sebahagian daripada Iman”

Sifat Malu Mendatangkan Kebaikan

Daripada Imran bin Husein r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sifat malu tidak mendatangkan sesuatu kecuali kebaikan”

Bukankah ia adalah satu pernyataan yang benar daripada Rasulullah s.a.w. Jika kita fikir dengan akal fikiran yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. kepada kita, sesungguhnya sifat malu itu dapat menghalang kita daripada melakukan sebarang dosa dan maksiat kepada Allah s.w.t. bahkan akan mendorong kita untuk berbuat baik. Ini kerana sifat malu itu telah mendorong kita supaya tidak melakukan maksiat pada Allah s.w.t. kerana jika sifat malu itu wujud dalam hati kita, nescaya kita akan malu pada Allah s.w.t.

Kebanyakan manusia malu melakukan sesuatu perkara yang memalukan adalah kerana ada mata yang memandangnya melakukan maksiat. Jika tidak ada yang melihatnya nescaya sifat malu itu akan hilang. Tetapi apakah kita yakin bahawa Allah itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui? Terlalu banyak dalil yang menegaskan bahawa Allah itu Maha Melihat.

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Luqman ayat 28 yang bermaksud:
“Tidaklah Allah menciptakan dan membangkitkan kamu(dari dalam kubur) itu melainkan hanyalah seperti(menciptakan dan membangkitkan) satu jiwa sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Allah s.w.t. itu Maha Melihat dan Dia mengetahui segala apa yang kita kerjakan. Apakah kita tidak yakin bahawa sekarang ini Allah sedang memerhatikan kita. Apakah kita tidak malu pada Allah yang sedang memerhatikan kita? Ketika kita melakukan maksiat, kita sudah tahu yang tidak ada seorang pun yang melihat perbuatan kita itu. Tapi kita perlu ingat bahawa ada yang memerhatikan kita. Tidak lain dan tidak bukan bahkan pasti. Allah sedang memerhatikan kita.

Dalam buku Syarah Hadis 40 Imam Nawawi terbitan Kemilau Publika, pada pengajarannya ada menyebut bahawa jika seseorang itu meninggalkan rasa malu, jangan harap lagi kebaikan daripadanya sedikit pun.

Bahagian Malu

Malu boleh dibahagikan kepada 3 bahagian:

Pertama, malu kepada diri sendiri. Menjadi tanggungjawab kita untuk malu kepada diri kita sendiri, inilah peringkat yang rendah kerana jika malu pada diri sendi pun sudah tidak ada, apakah akan wujud rasa malu pada yang lain?

Kedua, malu kepada manusia. Inilah yang menjadi kebiasaan dalam kehidupan kita sehari-hari, kita amat malu pada manusia sehingga setiap perkara itu dibandingkan dengan malu kepada manusia. Contoh yang mudah serta dialog yang biasa kita dengar. ‘Cantik pakaian hari ni. Maka yang menjawabnya pula berkata, mestilah kena pakai yang cantik-cantik kalu tak malu nanti orang tengok pakai selekeh.’

Ketiga, malu pada Allah s.w.t. dan inilah malu yang tertinggi sekali. Jarang kita dengar manusia yang mengatakan ‘aku buat macam ni sebab aku malu pada Allah’. Menjadi satu kewajiban kepada kita semua sebagai hambanya untuk malu pada Allah s.w.t.

Ketiga-tiga bahagian ini menjadi sendi akhlak yang mulia dengan kadar yang berbeza. Malu kepada diri sendiri dan sesama manusia itu sebaik-baiknya kita dasarkan atas malu kepada Allah s.w.t. Jika tidak, malu yang kita lakukan itu langsung tidak akan membuahkan atau mendatangkan sebarang pahala kepada kita.

Malu Biar Bertempat
Biasa kita dengar nasihat dari orang-orang alim. Malu itu mulia tapi biarlah malu itu bertempat. Malu bertempat? Adakah perlu bertempat?

Memang. Malu itu perlu bahkan wajib bertempat. Biasa kita dengar dialog seperti ini:

Situasi: Ceramah dalam masjid dan ramai yang sudah memenuhi ruang masjid.
A: Kenapa tak naik atas masjid?
B: Malu la nak naik. Ramai orang. Lagipun malu tu kan baik. Nabi pun suka.

Malu untuk masuk ke dalam masjid? Kenapa harus malu untuk memasuki rumah Allah? Dah la dalam masjid itu sedang diadakan majlis ilmu. Malu untuk menuntut ilmu? Subhanallah. Ini dipanggil malu tidak bertempat. Dalam bab ini mereka mengatakan malu untuk melakukan perkara yang diredhai oleh Allah tapi kalau buka aurat, tidak tahu pula nak cakap malu bahkan mereka kata ini satu fesyen dan tidak perlu malu untuk ini.

Semuanya sudah terbalik. Manusia zaman sekarang malu untuk melakukan perkara yang diredhai oleh Allah s.w.t. tapi tidak malu dalam melakukan maksiat pada Allah s.w.t. Mereka malu untuk membaca al-Quran di hadapan orang, malu untuk solat di khalayak ramai, malu untuk bersedekah, malu untuk bertanya, lebih-lebih lagi dalam hal agama.

Sedangkan tidak sepatutnya kita malu dalam hal agama kerana Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 53: “Dan Allah tidak malu daripada kebenaran”. Ini menjadi dalil bahawa tidak ada rasa malu dalam mengajar dan belajar hukum-hukum agama, dalam menuntut ilmu dan dari kebenaran.

Tapi mereka tidak malu mendedahkan aurat. Tidak malu melakukan sumbang mahram, tidak malu berpegangan tangan di khalayak ramai. Tidak malu untuk menghambur kata-kata atau kalimat-kalimat lucah dan menyakitkan hati si pendengar bahkan berasa bangga. Subhanallah. Wahai saudara dan saudari, mari bersama kita renung akan hal ini. Renungkanlah.

Akhirul Kalam

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda: “Malu adalah sebahagian daripada iman, dan iman adalah di syurga”                                                                 H.R. al-Tarmizi

Pujangga berkata: Orang yang dituntun oleh agamanya, yang diluruskan oleh akalnya, yang dijaga oleh hartanya dan yang dihiasi oleh rasa malunya maka dia telah menghimpunkan semua nilai keutamaan dalam dirinya.

Pengajaran yang dipetik dari Syarah Hadis 40. Malu adalah landasan akhlak yang mulia dan bermuara kepada kebaikan. Siapa yang banyak malunya maka lebih banyak kebaikannya dan siapa yang kurang malunya maka sedikit jua lah kebaikannya. Selain itu, rasa malu adalah perilaku dan dapat dibentuk. Setiap orang yang memiliki tanggungjawab perlulah membentu rasa malu ke atas mereka yang menjadi tanggungjawabnya.

Ayuh bersama saya kita wujudkan sifat malu dalam hati kita,
Malu pada diri sendiri,
Malu pada orang lain,
Malu pada Allah s.w.t.

Thursday, June 16, 2011

Jom Senyum


Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
“Kamu senyum kepada saudaramu adalah sedekah, kamu melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar adalah sedekah, kamu menunjuki seseorang yang sesat adalah sedekah dan kamu membuang batu, duri dan tulang dari jalan adalah sedekah.”                           H.R. Bukhari

Selepas membaca hadith ini, diri saya terpanggil untuk menulis satu artikel berkaitan dengan senyum. Bagi saya, para pembaca semua mesti sudah memahami erti senyum dan cara senyum. Mengukirkan senyuman itu bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan oleh kita semua. Ianya begitu mudah untuk dipraktikkan dalam kehidupan kita seharian.

Melalui dari hadith ini, dapat kita fahami bahawa mengukir satu senyuman itu adalah sedekah. Ramai orang menafsirkan bahawa sedekah itu hanyalah melalui wang yang diberikan kepada orang miskin, peminta sedekah, anak yatim dan yang sama waktu dengannya. Tetapi melalui hadith ini, Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa senyuman itu adalah sedekah. Adakah para pembaca semua mengetahui fadhilat atau ganjaran yang akan kita perolehi jika kita bersedekah?

Terlalu banyak dalil yang terdapat dalam al-Quran dan al-Hadith tetapi pada kesempatan ini, saya ingin mengemukakan satu hadith riwayat al-Tarmizi dan Ahmad yang mana bermaksud:
Daripada Muaz bin Jabal r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu pintu kebaikan. Puasa adalah pelindung, sedekah memadamkan kesilapan seperti air memadamkan api dan seorang insan solat pada penghujung malam” Bukankah kita banyak melakukan kesilapan? Cuba kita hitung. Berapa banyak kita telah melakukan kesilapan dalam sehari?

Bagi saya, diri saya telah melakukan banyak kesilapan. Tidak terhitung banyaknya. Melalui hadith ini dapat saya fahami bahawa dengan sedekah, kesilapan kita akan terpadam. Adakah kita semua tidak mahu kesilapan kita terhapus? Saya terlalu menginginkan agar segala kesilapan yang saya telah lakukan akan terhapus. Saya tidak mahu nanti ketika menghadap Allah s.w.t di akhirat nanti, saya membawa karung amalan yang dipenuhi dengan dosa-dosa.


Betapa besar dan luasnya pahala Allah sehingga senyuman dianggap sebagai satu sedekah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Adakah kita mahu mensia-siakan sesuatu amalan yang mudah tetapi besar ganjarannya? Saya tidak mahu melepaskan peluang ini. Sesungguhnya ini adalah rahmat Allah s.w.t. Tetapi masih ramai orang diluar sana yang suka memasamkan muka dari memaniskan muka.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Bertakwalah kepada Allah dan jangan merasa hina dengan amalan kebaikan yang kamu lakukan walaupun kecil seperti kamu menuangkan air yang ada di dalam timba kamu ke dalam bekas orang yang meminta minuman dan kamu bertemu saudaramu dalam keadaan muka yang manis” senyum adalah satu perbuatan yang dianggap remeh tetapi Rasulullah s.a.w berpesan agar kita semua tidak merasa hina jika kita hanya mampu mengukir satu senyuman buat saudara kita kerana walaupun ianya dianggap kecil bagi kita tetapi hakikatnya ianya satu perbuatan yang besar. Singkapi hikmah disebalik senyuman. Pasti kita akan teruja.

Pujangga berkata: Senyuman adalah kekuatan sihir yang dihalalkan, langkah untuk menyatakan cinta dan hubungan persahabatan, satu misi yang diturunkan di dunia untuk perdamaian dan cinta kasih, dan sedekah wajib yang menunjukkan bahawa orang yang mengeluarkannya, dengan itu menyatakan keredaanya, ketenangan jiwanya dan keteguhan hatinya. Terdapat satu lagi kata pujangga yang menarik hati saya. “Senyum itu adalah kunci kebahagiaan, cinta adalah pintunya, kegembiraan adalah taman bunganya, iman adalah cahayanya dan keamanan adalah temboknya.

Bukankah senyuman itu banyak faedahnya?
Mengapa susah sangat nak senyum?
Tak nak pahala ke?
Allah s.w.t dah bagi wasilah kepada kita untuk mendapatkan pahala,
Tapi masih tidak mahu.
Sombongnya kita pada Pencipta kita.
Ayuh bersama saya kita buang sikap sombong itu,
Kita tukar dengan rendah diri.
Jom senyum...