Ada orang kata, cinta ini ibarat garam di dalam masakan. Jika garam tiada langsung, maka makanan menjadi tawar dan kurang enak. Jika berlebihan pula,makanan menjadi terlalu masin dan tidak sedap. Maka yang sebaiknya gunakanlah secara sederhana, makanan tentu menjadi sedap lagi menyelerakan.
Pendapat saya,cinta juga begitu. Jika kita tiada langsung cinta, maka hidup kita tidak akan bermakna. Hidup kita akan menjadi tawar, kosong dan tidak menggembirakan. Bagi kita yang hidup sering diulit cinta, mungkin kurang terkesan dengan kata-kata ini, tetapi bagi mereka yang hidup tanpa cinta, dia akan mengakui kebenaran bicara ini. Sebaliknya, ika berlebihan pula, maka cinta itu akan memusnahkan diri. Emosi biasanya akan menewaskan pemikiran. Namun jika cinta itu dikawal, disalurkan dengan saluran yang betul, maka hidup akan menjadi indah dan menyenangkan.
Al-Mutanabbi ada berkata,
”Cinta itu lebih tua daripada alam ini,kerana atas dasar cintalah Tuhan menciptakan alam ini.”
Wah...!
Justeru, seseorang itu tidak hidup sebenarnya, jika hidupnya tidak mempunyai cinta. Kehidupan dan cinta nyata mempunyai ikatan yang erat. Sebab itulah manusia biasa menyatakan bahawa cinta itu adalah fitrah.
Kalau tidak percaya, cuba perhatikan kata-kata manusia terdahulu yang mengaprisiasi cinta. Bukan setakat itu sahaja, bahkan kita kita akan dapat melihat betapa manusia di sekeliling kita memandang cinta dengan pandangan yang mulia dan tinggi.
Antara kata-kata orang terkemuka mengenai cinta adalah seperti berikut:
”Jika bahagia cinta dapat diwujudkan dalam perkahwinan, maka terciptalah syurga di atas dunia ini.” (William Shakespeare)
”Cinta itu tidak melihat dengan mata, tetapi dengan fikiran.” (William Shakespeare)
”Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan dengan kekuatan, cinta bukan mengajar menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan, cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.” (Hamka dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wick)
Ya, daripada bicara-bicara ini, pasti kita dapat melihat betapa pentingnya cinta itu.
Kalau anda pernah membaca buku-buku karangan Habiburrahman El-Shirazy, seperti Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Di Atas Sejadah Cinta, anda akan dapat lebih menghayati betapa cinta itu penting dalam hayat seorang insan.
Cinta itu lekatnya dalam hati dan jiwa. Untuk mendapatkan kehidupan yang indah, kita perlu hidupkan hati dan jiwa kita dengan rasa cinta yang memekar. Timbul persoalan, cinta apakah yang mesti kita hidupkan?
Banyak orang apabila berbicara mengenai cinta, maka akan merujuk kepada cinta sesama manusia. Itulah cinta yang diagungkannya. Pada pandangan saya, rujukan itu kurang tepat kerana cinta kepada manusia itu hanyalah sebahagian daripada cinta kelas pertengahan. Sebenarnya memang terdapat satu cinta agung, jika kita dahulukan cinta itu, maka segala cinta menjadi cinta yang agung juga.
Itulah dia cinta kepada Allah S.W.T.
Hamka ada berkata,
”Cinta itu suci, cinta itu tidak buta, cinta itu kepunyaan Allah semata-mata. Yang tidak suci dan buta hanyalah orang yang salah menggunakan cinta.”
Ya, cinta itu kepunyaan Allah semata-mata.
Oleh sebab cinta ini berkait rapat dengan kehidupan, maka saya suka kalau kita membicarakan sekitar persoalan cinta ini.
Apakah definisi cinta menurut pandangan anda? Adakah dengan definisi cinta anda itu, anda merasa bahagia? Apakah dengan perjalanan cinta anda itu, anda rasa hidup anda bermakna?
Adakah anda ingin membuatkan kehidupan anda menjadi lebih bermakna?
Adakah anda ingin cinta anda membuahkan bahagia?
Bahgia dunia dan akhirat sekali gus?
Apa kata kita pergi mencari cinta.....
Cinta yang sebenar-benar cinta.
Dipetik daripada:
(Kembara Hamba Mencari Cahaya;Hilal Asyraf)
No comments:
Post a Comment