Pages

Wednesday, November 17, 2010

Doa Ibu Bapa Pasti Dikabulkan Oleh Allah S.W.T

                Saya pernah terbaca sebuah hadith yang berbunyi;
”Tiga jenis doa yang pasti akan dikabul, tanpa diragui lagi:doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir)dan doa dua orang tua ke atas anaknya.”1

                Berdasarkan hadith di atas, maka dapat kita fahami bahawa amat beruntunglah kita jika ibubapa dalam keadaan redha, mendoakan kebaikan kepada kita. Pada masa yang sama, rugilah kita jika ibubapa dalam keadaan murka sehingga mereka tidak berdoa apa-apa atau mendoakan sesuatu keburukan kepada kita.

                Dari kenyataan diatas mengingatkan saya akan sebuah cerita yang diceritakan oleh baginda dalam sebuah hadith yang mana berbunyi;

Rasulullah S.A.W. bersabda:

                Pernah terdapat seorang ahli ibadah yang bernama Juraij. Beliau banyak beribadah sehingga didirikan sebuah biara untuknya, dan dia tinggal di dalamnya. Suatu ketika ibunya datang pada saat dia sedang mendirikan solat. Ibunya memanggilnya: ”Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya:
”Wahai Tuhanku, ibuku (memanggilku) padahal aku bersolat.” Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.

                Pada keesokan hari, ibunya datang semula dan Juraij masih sedang bersolat. Ibunya memanggilnya: ”Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya: Wahai Tuhanku, ibuku (memanggilku) padahal aku sedang bersolat.” Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.

                Pada keesokan hari, ibunya datang semula (buat kali ketiga)  dan Juraij masih sedang bersolat. Ibunya memanggilnya: ”Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya: Wahai Tuhanku, ibuku (memanggilku) padahal aku sedang bersolat.” Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi. Lantas ibunya berdoa:
”Ya Allah! Janganlah Engkau matikan Juraij melainkan setelah dia melihat wajah-wajah pelacur!”

                Sejak saat itu, kaum Bani Israil mula berbincang berkenaan Juraij dan ibadahnya. Ada seorang pelacur yang berdandan cantik berkata: ”Jika kalian kehendaki, aku akan menggodanya untuk kalian.” Maka pelacur itu menawarkan diri kepada Juraij, tetapi Juraij sama sekali tidak mengendahkannya. Lalu pelacur tersebut mendatangi seorang pengembala kambing yang sedang berteduh di biara Juraij, menyerahkan diri  kepadanya sehingga pengembala itu menyetubuhinya.

                Pelacur tersebut menjadi hamil. Ketika anak itu dilahirkan, pelacur tersebut mendakwa: ”Ini adalah anak Juraij.” Maka orang ramai mendatangi Juraij memaksanya keluar, menghancurkan biaranya dan memukulnya. Juraij bertanya: ”Kenapakah kalian melakukan semua ini?” Mereka menjawab: ”Engkau telah melacur dengan pelacur ini sehingga dia melahirkan anak kamu!” Juraij bertanya: ”Di manakan anak tersebut?” Lalu bayi itu dibawa kepada Juraij. Dia berkata: ”Biarkan aku, aku ingin bersolat terlebih dahulu.” Maka Juraij bersolat. Setelah selesai. Juraij mendatangi bayi tersebut, memukul di perutnya, lalu bertanya:
”Wahai bayi, siapakah ayah kamu?” Bayi itu menjawab: ”Ayahku adalah seorang pengembala kambing.”

                Tatkala mendengar jawapan tersebut, orang ramai kembali kepada Juraij, menyentuhnya dan menciumnya (kerana mereka telah bersalah dalam menuduhnya) dan berkata: ”Kami akan membangunkan semula biara kamu yang kami hancurkan dengan emas.”
Juraij menjawab: ”Tidak, tetapi bangunkanlah ia dengan tanah sebagaiman asalnya”2
                Hadith di atas menunjukkan betapa besarnya kedudukan ibu bapa ke atas seorang anak dan betapa pentingnya bagi seorang anak untuk berbuat baik kepada ibubapanya. Bayangkan, jika seorang anak yang sedang bersolat dianggap melakukan kesalahan kerana tidak mengendahkan hajat ibunya, bagaimana pula dengan kita yang sering leka mengejar kehidupan dunia sehingga tidak mengendahkan hajat ibu bapa kita?

Pengajaran yang terkandung dalam hadith panjang tadi yang boleh kita ambil ialah:
1.       Urusan ibubapa adalah lebih penting daripada urusan beribadah, lebih-lebih lagi jika ibadah yang sedang dilaksanakan hukumnya adalah sunat. Jika ia adalah ibadah wajib, maka hendaklah diperhatikan sama ada ia boleh ditangguh atau diringkaskan ibadah tersebut.
2.       Berhati-hati dengan doa ibubapa.


____________________
1.        Hassan: Dikeluarkan oleh al-Tarmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tarmizi-hadith no: 1905 (Kitab al-Birr wa al-Sholah, Bab berkenaan doa kedua ibubapa)
2.        Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya-hadith no: 2550  (Kitab al-Birr wa al-Shalah wa al-Adab, Bab mendahulukan kebaikan kepada ibubapa daripada solat sunat).

Monday, November 15, 2010

Cintai Allah Hidup Jadi Indah

Ada orang kata, cinta ini ibarat garam di dalam masakan. Jika garam tiada langsung, maka makanan menjadi tawar dan kurang enak. Jika berlebihan pula,makanan menjadi terlalu masin dan tidak sedap. Maka yang sebaiknya gunakanlah secara sederhana, makanan tentu menjadi sedap lagi menyelerakan.

Pendapat saya,cinta juga begitu. Jika kita tiada langsung cinta, maka hidup kita tidak akan bermakna. Hidup kita akan menjadi tawar, kosong dan tidak menggembirakan. Bagi kita yang hidup sering diulit cinta, mungkin kurang terkesan dengan kata-kata ini, tetapi bagi mereka yang hidup tanpa cinta, dia akan mengakui kebenaran bicara ini. Sebaliknya, ika berlebihan pula, maka cinta itu akan memusnahkan diri. Emosi biasanya akan menewaskan pemikiran. Namun jika cinta itu dikawal, disalurkan dengan saluran yang betul, maka hidup akan menjadi indah dan menyenangkan.

Al-Mutanabbi ada berkata,

”Cinta itu lebih tua daripada alam ini,kerana atas dasar cintalah Tuhan menciptakan alam ini.”

Wah...!

Justeru, seseorang itu tidak hidup sebenarnya, jika hidupnya tidak mempunyai cinta. Kehidupan dan cinta nyata mempunyai ikatan yang erat. Sebab itulah manusia biasa menyatakan bahawa cinta itu adalah fitrah.

Kalau tidak percaya, cuba perhatikan kata-kata manusia terdahulu yang mengaprisiasi cinta. Bukan setakat itu sahaja, bahkan kita kita akan dapat melihat betapa manusia di sekeliling kita memandang cinta dengan pandangan yang mulia dan tinggi.

Antara kata-kata orang terkemuka mengenai cinta adalah seperti berikut:

”Jika bahagia cinta dapat diwujudkan dalam perkahwinan, maka terciptalah syurga di atas dunia ini.” (William Shakespeare)

”Cinta itu tidak melihat dengan mata, tetapi dengan fikiran.” (William Shakespeare)

”Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan dengan kekuatan, cinta bukan mengajar menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan, cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.” (Hamka dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wick)

Ya, daripada bicara-bicara ini, pasti kita dapat melihat betapa pentingnya cinta itu.

Kalau anda pernah membaca buku-buku karangan Habiburrahman El-Shirazy, seperti Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Di Atas Sejadah Cinta, anda akan dapat lebih menghayati betapa cinta itu penting dalam hayat seorang insan.

Cinta itu lekatnya dalam hati dan jiwa. Untuk mendapatkan kehidupan yang indah, kita perlu hidupkan hati dan jiwa kita dengan rasa cinta yang memekar. Timbul persoalan, cinta apakah yang mesti kita hidupkan?

Banyak orang apabila berbicara mengenai cinta, maka akan merujuk kepada cinta sesama manusia. Itulah cinta yang diagungkannya. Pada pandangan saya, rujukan itu kurang tepat kerana cinta kepada manusia itu hanyalah sebahagian daripada cinta kelas pertengahan. Sebenarnya memang terdapat satu cinta agung, jika kita dahulukan cinta itu, maka segala cinta menjadi cinta yang agung juga.

Itulah dia cinta kepada Allah S.W.T.

Hamka ada berkata,
”Cinta itu suci, cinta itu tidak buta, cinta itu kepunyaan Allah semata-mata. Yang tidak suci dan buta hanyalah orang yang salah menggunakan cinta.”

Ya, cinta itu kepunyaan Allah semata-mata.

Oleh sebab cinta ini berkait rapat dengan kehidupan, maka saya suka kalau kita membicarakan sekitar persoalan cinta ini.

Apakah definisi cinta menurut pandangan anda? Adakah dengan definisi cinta anda itu, anda merasa bahagia? Apakah dengan perjalanan cinta anda itu, anda rasa hidup anda bermakna?

Adakah anda ingin membuatkan kehidupan anda menjadi lebih bermakna?
Adakah anda ingin cinta anda membuahkan bahagia?
Bahgia dunia dan akhirat sekali gus?
Apa kata kita pergi mencari cinta.....
Cinta yang sebenar-benar cinta.

Dipetik daripada:
(Kembara Hamba Mencari Cahaya;Hilal Asyraf)