Pages

Thursday, June 16, 2011

Hidupkan Budaya Membaca


Dewasa ini, amalan membaca dalam masyarakat kita amatlah kurang. Tidak ramai yang mempunyai minat untuk membaca. Pada 2.6.2011, saya bersama teman-teman menaiki motor untuk ke Maktabah Az-Zahra untuk mencari bahan dan maklumat bagi keja kursus yang perlu kami semua siapkan. Tapi malangnya maktabah itu tutup kerana pada hari itu bukanlah waktu beroperasi bagi maktabah itu. Memandangkan maktabah itu tutup, kami tetap meneruskan hasrat kami untuk mancari maklumat. Kami pergi ke Perpustakaan Awam Negeri Kelantan.

Apabila saya menjejakkan kaki ke dalam perpustakaan tersebut, saya terkejut. Wow! Banyaknya buku. Tetapi orangnya sedikit sangat sehingga teman saya berkata: “Kalau nak pergi kat tempat yang sedikit orang, datanglah maktabah, kalau tak pun masjid.” Bukankah disitu sudah jelas bahawa tidak ramai yang mempunyai minat untuk membaca. Walhal di maktabahlah tempat untuk mencari maklumat, menimba ilmu dan sebagainya kerana disana ada banyak bahan bacaan yang boleh kita dapat.

Daripada Anas bin Malik r.a, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Menuntut ilmu adalah fardhu atas setiap orang Islam, dan penuntut ilmu akan didoa keampunan oleh semua termasuk ikan-ikan”
Melalui hadith ini, dapat saya fahami bahawa menuntut ilmu adalah fardhu atas diri saya dan semua saudara-saudara seislam saya. Bukankah dengan membaca dapat menambahkan ilmu? Membaca adalah salah satu cabang untuk mendapatkan ilmu. Tetapi ramai diantara kita beranggapan bahawa menuntut ilmu itu bermaksud duduk dalam kelas, dengar syarahan, dengar tazkirah, dengar ceramah dan sebagainya. Tanggapan itu sebenarnya salah. Jangan kita menyempitkan skop mendapatkan ilmu.

Wahai saudara-saudaraku yang saya hormati, banyak manfaat yang akan kita perolehi jika kita membaca. Dalam buku Himpunan Hadis Modal Insan jilid 1 yang dikarang oleh Dr. Zulkifli Mohamad Bakri, dalam bab Berilmu. Beliau menyelitkan manfaat membaca yang mana ingin saya utarakan disini buat tatapan kita semua. Antaranya ialah:

1.        Menghilangkan perasaan was-was, gelisah dan sedih.
2.       Dapat menyibukkan diri seseorang yang daripada kegiatan para penganggur.
3.       Mengembangkan akal, meningkatkan pemikiran dan menjernihkan hati.
4.      Dengan membaca, seseorang itu dapat memperolehi ilmu yang berlimpah serta berbagai-bagai pemahaman daripada satu masalah.
5.       Dapat menambahkan keimanan, terutamanya ketika membaca buku-buku berkaitan dengan Islam. Sebab,  kitab itu seperti penasihat, pemberi peringatan yang terpenting, pencegah yang terbesar dan hakim yang paling adil untuk memeutuskan sesuatu perkara.

Masih banyak lagi manfaat yang dapat kita cungkil jika kita mencari hikmah dan manfaat membaca. Jika tidak mempunyai hikmah yang besar, masakan wahyu pertama yang diturunkan kepada junjungan besar kita Rasulullah s.a.w ialah membaca. Dalam surah al-Alaq ayat 1-5 yang mana ayat itu menerangkan bahawa peri pentingnya membaca.

“Bacalah(wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk) (1) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku (2) Bacalah, dan Tuhanmu Maha Pemurah (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan (4) Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (5)”

Melalui ayat ini, bukankah ia berbentuk satu suruhan untuk membaca? Tentu sahaja dengan membaca itu banyak faedahnya. Kalau perkara itu sia-sia, Allah pasti tidak akan menyuruh kita selaku hambanya untuk melakukannya. Setiap ciptaan Allah itu ada faedahnya yang terkadang dapat kita singkapi dan terkadang tidak dapat kita ketahui hikmah disebaliknya. Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 191 yang bermaksud:

“Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): ‘ Ya Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa api neraka (191)”

Kata pujangga ada mengatakan: Perpustakaan peribadi anda adalah kebun yang rendang dan taman yang penuh dengan bunga-bunga di sekitar rumah anda. Nikmatilah kebun dan taman itu bersama dengan para ulama, para bijaksana, para sasterawan dan para penyair. Juga terdapat kata-kata yang man berbunyi: Faedah membaca itu banyak sekali, antaranya melancarkan lidah, mengembangkan akal, menjernihkan fikiran, menghilangkan keresahan, mengambil pelajaran daripada berbagai pengalaman, memetik nilai-nilai keutamaan.

Wah! Banyak sangat faedah membaca. Tetapi masih ramai yang tidak suka membaca. Perpustakaan atau maktabah sangat jarang dijejaki, apatah lagi diterokai. Ada orang kata perpustakaan ini ibarat satu mimpi ngeri buat orang yang tidak suka membaca atau lebih mudah difahami. Orang yang malas nak membaca. Mereka menganggap perpustakaan itu adalah seperti satu bayangan yang amat menakutkan. Hakikatnya perpustakaan adalah tempat yang seronok, tidak mengerikan dan bukanlah satu bayangan yang amat menakutkan. Tidak percaya? Luangkan sedikit masa untuk ke perpustakaan yang berdekatan dengan kediaman kita.

Ayuh bersama saya,
Kita ubah sikap malas membaca kepada ingin membaca.
Membaca adalah suatu fi’il yang amat seronok.
Apabila membaca,
Satu pengembaraan bermula.
Tidak mahu mencuba?
Jangan segan wahai temanku,
Ambil buku dan baca.
Jom kita hidupkan budaya membaca.....

Wednesday, June 1, 2011

Tundukkanlah Pandanganmu

Sedang diriku asyik mengalunkan al-Quran, mataku terpaku pada ayat yang ke 30, surah an-nur muka surat 353, juzu’ 18 yang bermaksud:
              
  “ Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat(menjaga) pandangan mereka (dari memandang yang haram), dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan”

Hatiku terdetik, mengapa Allah S.W.T menyuruh kita untuk menjaga pandangan dan menjaga kemaluan kita? Memori yang tersimpan rapi dalam kotak ingatan saya mulai menampilkan diri. Saya teringat dengan satu kata-kata yang meniti  keluar menghiasi percakapan salah seorang teman saya. Dia menyebut ‘terbitnya nafsu syahwat kita dalam diri kita ini bermulanya dari kaca mata kita. Oleh kerana mata kita melihat sesuatu yang menjolok mata memandang, nafsu akan mulai mengambil alih. Jagalah pandangan kamu’

Kata-kata tersebut terngiang-ngiang di telinga saya. Kalau kita perhatikan dan kita gunakan akal fikiran yang Allah kurniakan kepada kita. Memang benar apa yang di utarakan oleh sahabat saya itu. Oleh kerana kita memandang sesuatu perkara yang dapat memberahikan diri kita maka nafsu mulai mengambil alih dan jika iman yang mantap tidak menampilkan diri untuk menegah perkara keji tersebut, mungkin sahaja sesuatu perbuatan keji akan berlaku. Zina.

Saya ada membelek sebuah tafsir al-Quran yang menerangkan perihal ayat ini. Antara isi yang boleh saya sertakan dalam tazkirah saya ini ialah:
a.       Pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi yang beriman hendaklah menjaga dan membatasi pandangan mereka terhadap lawan jenisnya. Ini kerana pandangan akan menimbulkan ghairah. Ghairah akan mengobarkan syahwat. Syahwat akan mendorong kita melakukan maksiat. Dikatakan, ‘pandangan itu berbisa.’ Ada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawasanya Rasulullah S.A.W. berkata kepada Ali, ‘Hai Ali! Janganlah kamu iringi pandangan pertama dengan pandangan kedua. Pandangan pertama adalah untukmu(tidak berdosa kerana ia adalah perkara yang tidak di sengajakan) dan pandangan kedua bukanlah untukmu lagi(haram).
b.      Pemuda mahupun pemudi yang beriman hendaklah menjaga pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka/kehormatan mereka daripada melakukan maksiat yang keji. Zina. Ustaz saya yang bernama Ustaz Suzani Jaafar ketika memberikan tazkirah ada menyebut, ‘antara ciri-ciri mukmin yang berjaya adalah mereka yang menjaga kemaluan/kehormatan mereka.’ Itulah yang disebut oleh Allah dalam surah al- Mukminun ayat 5 yang menerangkan ciri-ciri seorang mukmin yang berjaya.
c.       Mengenai orang berjaya yang dimaksudkan dalam ayat pertama surah ini; Surah al-Mukminun (seperti termaktub dalam tafsir pimpinan ar- Rahman) ialah: orang-orang yang beriman yang tetap berjaya mencapai keselamatan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat kelak ialah orang-orangyang mengerjakan suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya yang diterangkan ayat-ayat yang berikutnya.

Jika kita perhatikan,  ayat tersebut dimulai dengan “katakanlah (wahai Muhammad) kepada pemuda-pemuda yang beriman...” disini dapat kita fahami bahawa ianya ditujukan kepada orang yang beriman. Bukankah kita ini beriman? Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya? Bukankah kita telah bersyahadah “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan aku juga bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah”?
                
          Jelas sekali bahawa ayat itu ditujukan kepada kita kerana kita adalah orang yang beriman pada-Nya. Mengapa kita ingin mengingkari ayat tersebut sedangkan itu adalah ayat yang dipetik dari al-Quran. Kitab suci umat Islam. Mukjizat yang paling besar yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya, Nabi Muhammad S.A.W. Menjadi kewajipan kepada kita sebagai hamba Allah untuk mentaati suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Moga kita tergolong dalam hamba-hamba-Nya yang berjaya.
               
              Intihanya, saya menyeru kepada diri saya sendiri, semua sahabat, semua pembaca agar kita kembali kepada al-Quran dan al-Hadith. Bersama kita bergerak untuk mentaati segala suruhan-Nya dan meninggalkan bahkan menjauhi segala larangan-Nya. Yakinlah wahai saudara-saudaraku sekalian, setiap apa yang disuruh oleh Rabb kita pasti ada kebaikan di sebaliknya dan setiap apa yang dilarang oleh Dia pasti ada kejelekan atau keburukan di sebaliknya.
                Ayuh bersama kita semua bergerak menuju redha Allah,
                Taati segala suruhan-Nya,
                Tinggalkan dan jauhi segala larangan-Nya.
                Ingin bersama kami?
                Ayuh!

Sunday, January 16, 2011

Doa Pohon Maghfirah

Wahai ikhwan-ikhwanku,
Marilah kita bersama menadah tangan,
Memohon agar Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita,
Yang telah kita lakukan selama ini;
Ya Allah, kami amat mengharapkan maghfirah dariMu,
Ampunkanlah segala dosa-dosa kami.....

Friday, December 17, 2010

Tenangkan Hati Dengan Mengingati Allah S.W.T

Tatkala diriku dirundung kesedihan, fikiranku tidak keruan. Perasaanku bercampur baur, hampa, sedih, gelisah, kesal sehingga tidak dapat dinukil betapa hibanya diriku pada saaat itu. Air mataku mengalir di pipiku dan mati di bibirku. Sungguh aku begitu sedih pada saat iu. Mengapa dan kenapa perkara itu berlaku? Tidak dapat aku terjemahkan..mungkin sahaja kerana takut, risau atau apa-apa sahaja.

Aku cuba untuk melelapkan mata agar dengan cara demikian dapat menghilangkan perasaan yang tiba-tiba muncul tadi..tapi apakan daya, fikiranku melayang ke lain hingga menyebabkan air mataku lebih deras mengalir keluar dari kelopak mataku.

Oleh kerana perasaanku yang sedemikian rupa, aku mulai tidak keruan. Tapi sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui perihal hamba-Nya. Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada dalam keadaan yang serba kekurangan. Maka dengan kuasa-Nya, mataku beralih dan terpaku pada sebuah mushaf yang terdapat dalam kamarku. Lantas satu ayat menerjah masuk ke dalam sanubariku dimana ayat tersebut telah aku hafaz sejak aku masih kecil.

”Dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang” (Ar-Ra’d)

Ku gagahkan tubuhku, ku gerakkan kakiku. Dengan izin Allah S.W.T aku melangkah ke bilik air, aku mengambil wudhu’ selengkap-lengkapnya. Ku habiskan ia dengan doa usai wudhu’. Ku bergerak ke tempat yang ku gunakan untuk beribadah pada Allah S.W.T..aku menunaikan solat sunat 2 rakaat. Hatiku hiba apabila membaca kalam-Nya, air mataku mengalir perlahan menuruni lembah pipiku  dan mati di dagu..menitis jatuh ke bumi..hatiku yang tidak keruan berubah..hatiku mulai tenang apabila mengingati Allah..suatu ketenangan yang tidak dapat ku gambarkan menghembus masuk..ketenangan yang luar biasa.

Aku teringat akan kata-kata baginda S.A.W:
”Sesungguhnya Allah itu lebih rapat dari urat nadi”
”Sesungguhnya Allah itu paling rapat dengan hamba-Nya ketika hamba-Nya sedang sujud kepada-Nya”

Hatiku yang sebentar tadi gundah mulai tenang dengan ketenangan yang Allah S.W.T berikan kepadaku. Aku bersyukur ke hadrat Ilahi yang telah memberikan ketenangan kepadaku.. terima kasih Ya Allah.. nah, sesungguhnya ketenangan itu daripada Allah S.W.T wahai saudara-saudaraku sekalian, maka apabila dirimu memerlukan ketenangan..mohonlah kepada Allah, berdoalah kepada Allah. Adakah saudara lupa akan firman Allah S.W.T

”Berdoalah kepada-Ku, maka Aku akan makbulkan”

Perlukan ketenangan?
Ingatlah kepada Allah..
Dengan mengingati Allah..
Hati akan menjadi tenang..

Thursday, December 16, 2010

Cinta Kita Sangat Daif

Heningnya malam bagaikan suria tidak akan muncul lagi pada keesokan hari. Manusia masih lagi lena diulit mimpi. Lena dibuai fantasi yang belum pasti kesudahannya. Namun, di celah-celah kesunyian itu, masih kedengaran suara memuja Ilahi. Inilah yang dikatakan para muttaqin dan solihin yang tak jemu-jemu membasahkan bibir dengan kalimah La Ilaha Illa Allah yakni memuji kebesaran Allah.

Berdasarkan kalam Allah yang ada menyebut:
”Maka bersegeralah kembali(mentaati)Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu.”

Wahai saudara yang dimuliakan, tidak hairanlah sekiranya masih ada insan yang masih mencari redha dan cinta daripada Sang Murabbi kerana Islam itu sungguh indah. Sememangnya juga Islam itu diciptakan untuk mengubah keperibadian yang luhur ke dalam setiap jiwa insan yang bergelar hamba dan tidak diutuskan seorang rasul itu melainkan untuk memberi peringatan.
sujud1.jpg
Subhanallah...sungguh agungnya kebesaran Allah. Tapi seribu kali sayang, hanya segelintir sahaja yang menyedari kehebatan dan kekuasaan –Nya. Manakah halawah yang diharapkan selama ini jika usaha yang dilakukan tidaklah seindah impian. Jika dibandingkan kemanisan iman zaman aula & kini ianya diibaratkan bila tiba hari raya Qurban, perasaan kesyukuran & ketakwaan kepada Allah kian menebal. Daging yang sama dilapah tadi dinikmati dengan penuh pengharapan untuk mencari keredhaan Ilahi tanpa rasa riak..akan tetapi manusia kini kian rakus bagaikan drakula yang dahagakan darah. Manusia hanya tahu mengejar namun gilakan kuasa sehingga terlupa dengan nikmat yang dikurnikan.

Apabila datangnya ujian daripada Allah, saat itu kita mula mengingatinya. Saat pergi dugaan, kita mula kembali kepada kekufuran. Cinta kita kepada Allah hanyalahdi bibir sahaja dan hanya bersifat sementara. Jauh berbeza dengan cinta para sahabat, tabie dan umat terdahulu. Mereka menyerahkan jiwa raga kepada Allah semata-mata ingin mendapatkan balasan cinta di akhirat  kelak. Cinta kita sangat daif..kita seperti tidak menghargai cinta yang diberi oleh Allah. Kita sering dengar, jangan merayu pada yang tidak sudi.

Kita seharusnya takut  sekiranya Allah tidak memandang kita sebagai kekasihnya. Kekasih di dunia dipuja bagaikan ratu. Tiap-tiap waktu diingati..tetapi Allah hanya dipuja 5 waktu sehari. Adakah tidak layak bagi-Nya?? Sedangkan kita umpama menumpang mandi di tandas awam. Cas yang dikenakan tidaklah seberapa tapi Allah tidak memerlukan sebarang bayaran atau ganti rugi di atas pinjamannya. Oleh itu, tepuk dada, tanya iman.

Cinta Ilahi, Cinta hakiki,
Cinta duniawi hanya Ilusi,
Kekasih di dunia hanya sementara,
Kasihkan Allah kekal selamanya,
Sayang manusia ada sekatan,
Sayang Allah ada kehebatan...

Cintakan Manusia..Akhirnya Belum Pasti.
Cintakan Allah..Syurga Menanti...
                                                                             Oleh: Nurul Hafizah bt Abd. Rasyid

Wednesday, November 17, 2010

Doa Ibu Bapa Pasti Dikabulkan Oleh Allah S.W.T

                Saya pernah terbaca sebuah hadith yang berbunyi;
”Tiga jenis doa yang pasti akan dikabul, tanpa diragui lagi:doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir)dan doa dua orang tua ke atas anaknya.”1

                Berdasarkan hadith di atas, maka dapat kita fahami bahawa amat beruntunglah kita jika ibubapa dalam keadaan redha, mendoakan kebaikan kepada kita. Pada masa yang sama, rugilah kita jika ibubapa dalam keadaan murka sehingga mereka tidak berdoa apa-apa atau mendoakan sesuatu keburukan kepada kita.

                Dari kenyataan diatas mengingatkan saya akan sebuah cerita yang diceritakan oleh baginda dalam sebuah hadith yang mana berbunyi;

Rasulullah S.A.W. bersabda:

                Pernah terdapat seorang ahli ibadah yang bernama Juraij. Beliau banyak beribadah sehingga didirikan sebuah biara untuknya, dan dia tinggal di dalamnya. Suatu ketika ibunya datang pada saat dia sedang mendirikan solat. Ibunya memanggilnya: ”Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya:
”Wahai Tuhanku, ibuku (memanggilku) padahal aku bersolat.” Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.

                Pada keesokan hari, ibunya datang semula dan Juraij masih sedang bersolat. Ibunya memanggilnya: ”Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya: Wahai Tuhanku, ibuku (memanggilku) padahal aku sedang bersolat.” Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.

                Pada keesokan hari, ibunya datang semula (buat kali ketiga)  dan Juraij masih sedang bersolat. Ibunya memanggilnya: ”Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya: Wahai Tuhanku, ibuku (memanggilku) padahal aku sedang bersolat.” Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi. Lantas ibunya berdoa:
”Ya Allah! Janganlah Engkau matikan Juraij melainkan setelah dia melihat wajah-wajah pelacur!”

                Sejak saat itu, kaum Bani Israil mula berbincang berkenaan Juraij dan ibadahnya. Ada seorang pelacur yang berdandan cantik berkata: ”Jika kalian kehendaki, aku akan menggodanya untuk kalian.” Maka pelacur itu menawarkan diri kepada Juraij, tetapi Juraij sama sekali tidak mengendahkannya. Lalu pelacur tersebut mendatangi seorang pengembala kambing yang sedang berteduh di biara Juraij, menyerahkan diri  kepadanya sehingga pengembala itu menyetubuhinya.

                Pelacur tersebut menjadi hamil. Ketika anak itu dilahirkan, pelacur tersebut mendakwa: ”Ini adalah anak Juraij.” Maka orang ramai mendatangi Juraij memaksanya keluar, menghancurkan biaranya dan memukulnya. Juraij bertanya: ”Kenapakah kalian melakukan semua ini?” Mereka menjawab: ”Engkau telah melacur dengan pelacur ini sehingga dia melahirkan anak kamu!” Juraij bertanya: ”Di manakan anak tersebut?” Lalu bayi itu dibawa kepada Juraij. Dia berkata: ”Biarkan aku, aku ingin bersolat terlebih dahulu.” Maka Juraij bersolat. Setelah selesai. Juraij mendatangi bayi tersebut, memukul di perutnya, lalu bertanya:
”Wahai bayi, siapakah ayah kamu?” Bayi itu menjawab: ”Ayahku adalah seorang pengembala kambing.”

                Tatkala mendengar jawapan tersebut, orang ramai kembali kepada Juraij, menyentuhnya dan menciumnya (kerana mereka telah bersalah dalam menuduhnya) dan berkata: ”Kami akan membangunkan semula biara kamu yang kami hancurkan dengan emas.”
Juraij menjawab: ”Tidak, tetapi bangunkanlah ia dengan tanah sebagaiman asalnya”2
                Hadith di atas menunjukkan betapa besarnya kedudukan ibu bapa ke atas seorang anak dan betapa pentingnya bagi seorang anak untuk berbuat baik kepada ibubapanya. Bayangkan, jika seorang anak yang sedang bersolat dianggap melakukan kesalahan kerana tidak mengendahkan hajat ibunya, bagaimana pula dengan kita yang sering leka mengejar kehidupan dunia sehingga tidak mengendahkan hajat ibu bapa kita?

Pengajaran yang terkandung dalam hadith panjang tadi yang boleh kita ambil ialah:
1.       Urusan ibubapa adalah lebih penting daripada urusan beribadah, lebih-lebih lagi jika ibadah yang sedang dilaksanakan hukumnya adalah sunat. Jika ia adalah ibadah wajib, maka hendaklah diperhatikan sama ada ia boleh ditangguh atau diringkaskan ibadah tersebut.
2.       Berhati-hati dengan doa ibubapa.


____________________
1.        Hassan: Dikeluarkan oleh al-Tarmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Tarmizi-hadith no: 1905 (Kitab al-Birr wa al-Sholah, Bab berkenaan doa kedua ibubapa)
2.        Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya-hadith no: 2550  (Kitab al-Birr wa al-Shalah wa al-Adab, Bab mendahulukan kebaikan kepada ibubapa daripada solat sunat).